Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Anwar Selar Sikap Hipokrit Barat, Malaysia Tegas Kekal Pertahan Prinsip Keadilan

04/04/2026 03:58 PM

KUALA KANGSAR, 4 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar sikap hipokrit sesetengah kuasa Barat yang sering bertindak sebagai "guru" hak asasi manusia kepada negara lain, namun pada masa sama mendiamkan diri terhadap siri kezaliman yang berlaku di hadapan dunia.

Anwar berkata mempunyai ilmu pengetahuan tinggi dalam bidang sains dan teknologi tidak akan memberi manfaat kepada masyarakat sekiranya ia tersasar daripada prinsip moral, akhlak dan nilai kemanusiaan yang tinggi.

“Dunia ini tidak kekurangan orang yang pintar, yang membuat segala teknologi, pesawat, senjata paling canggih. Tetapi peperangan mereka bobrok (binasa), boleh membunuh, zalim, menjajah negara orang tanpa conscience (rasa bersalah).

Ad Banner
Ad Banner

“Paling akhir, Iran. Bayangkan senang-senang Israel mengambil keputusan…Amerika Syarikat bantu dan dunia hampir senyap kerana pengaruh Barat yang kuat. 

“Saya beritahu kawan, anak-anak, Alhamdulillah, Malaysia antara satu-satunya negara yang masih pertahankan semangat kebebasan dan berani menyatakan bahawa serangan itu ganas, biadab dan tidak berperikemanusiaan,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian pada program Temu Anwar bersama Warga Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di MCKK, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Datuk Khairudin Abu Hanipah.

Sementara itu,  Anwar berkata isu terhakisnya keyakinan rakyat  adalah berpunca daripada defisit kepercayaan terhadap sistem dan pimpinan politik yang bersikap hipokrit. 

"Contoh nyata, umpamanya pimpinan dunia di negara luar, mereka bercakap soal keamanan tetapi menyerang negara lain. Bercakap hak asasi manusia namun membiarkan orang dibunuh setiap hari, anak-anak kecil. Ini amat bercanggah, benar-benar hipokrit.

"Dan kalau ini lambang orang politik, tentu rakyat kita tak senang. Sebab itu di negara kita, kita harus ada kesediaan untuk melakukan perubahan," kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan pelajar mengenai cara seorang pemimpin boleh mengekalkan prinsip moral dan nilai integriti apabila berhadapan tekanan politik, kepentingan parti, tuntutan pragmatik dan sebagainya dalam membuat keputusan negara.

Perdana Menteri berkata perubahan ke arah lebih baik tidak berlaku sekelip mata, malah mungkin mengambil tempoh yang lama, selain kerajaan kini bertindak tegas menentang rasuah atau penyelewengan mengikut proses yang betul.

 “Adakah kita dapat menghapuskannya sepenuhnya? Tidak, kerana ia telah menjadi sistemik, dalam tempoh dua tahun yang lalu... Apakah lengkap sempurna, tidak. Dan ada orang kaya yang korup menggunakan media sosial menyerang kita. 

"Tidak mudah untuk mengambil tindakan sebegini, tetapi soalnya, orang boleh kritik, memang saya tak nafikan, kadang-kadang kita ambil masa (melawan rasuah)," katanya.

Pada masa sama, Anwar turut menyelar pihak yang sengaja memutar belit kenyataannya sebelum ini berkenaan harga minyak.

“Tengok keadaan sekarang apabila minyak melambung naik, kemudian mereka ulang kenyataan saya, ‘Hari ini menang, esok minyak turun.’

“Kenyataan itu dibuat ketika harga minyak di Arab Saudi 50 sen, tetapi sekarang kita RM1.99, masih antara yang paling rendah di dunia, cuma sedikit lebih tinggi daripada Brunei,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan