Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lebih 2,000 Pesakit Buah Pinggang Di Kelantan Jalani Dialisis

04/04/2026 06:43 PM

KOTA BHARU, 4 April (Bernama) -- Lebih 2,000 pesakit buah pinggang di Kelantan sedang menjalani rawatan dialisis setakat ini dan jumlah itu dijangka terus meningkat sekiranya faktor risiko tidak dikawal dengan baik.

Timbalan Pengarah (Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Rohana Daud berkata jumlah tersebut melibatkan pesakit yang sudah berada pada tahap kritikal, manakala pesakit pada peringkat awal, iaitu tahap satu hingga tiga, masih berada dalam pemantauan pihak kesihatan.

Beliau berkata peningkatan kes itu berpunca daripada penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal, selain masalah obesiti dalam kalangan masyarakat.

Ad Banner
Ad Banner

“Pengambilan ubat tanpa pemantauan, termasuk ubat tahan sakit serta ubat tradisional yang tidak berdaftar, juga boleh memberi kesan kepada fungsi buah pinggang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 di Pusat Dialisis Medicare Sdn Bhd di sini hari ini.

Beliau berkata penyakit buah pinggang lazimnya tidak menunjukkan simptom yang jelas pada peringkat awal sehingga menyebabkan ramai pesakit hanya dikesan apabila sudah berada pada tahap serius.

“Kemudahan rawatan dialisis di hospital kerajaan disediakan terutama kepada golongan memerlukan, namun kapasitinya adalah terhad berikutan kekangan mesin dan fasiliti.

“Satu mesin dialisis hanya mampu menampung beberapa pesakit secara bergilir, menyebabkan sebahagian pesakit mendapatkan rawatan di pusat swasta,” katanya.

Beliau berkata langkah pencegahan melalui amalan gaya hidup sihat amat penting bagi mengekang peningkatan kes penyakit buah pinggang di negeri ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan