IPOH, 4 April (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak yang memasuki hari kedua telah merekodkan lebih 93,000 pengunjung, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Nga berkata pencapaian itu membuktikan keyakinan dan sokongan rakyat terhadap program berkenaan yang telah dianjurkan sejak dua tahun lepas.
“PMR 2026 Perak menyasarkan 100,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari. Namun pada hari kedua, kita telah berjaya mencatatkan lebih daripada 93,000 pengunjung
“Program ini bukan sekadar sebuah acara, malah merupakan manifestasi tekad kerajaan untuk mendengar suara rakyat, memahami denyut nadi masyarakat dan menterjemahkan keperluan rakyat kepada tindakan yang nyata,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian PMR 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan perasmian program tersebut yang turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Nga berkata program tersebut juga memberi peluang kepada rakyat untuk berinteraksi secara langsung dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan selain mendapatkan maklumat serta bantuan yang bersifat praktikal dan menyeluruh.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak, kementerian, jabatan dan agensi terlibat atas kerjasama padu yang memastikan PMR berjaya memberi manfaat kepada rakyat.
“Sinergi yang terjalin antara semua pihak mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan agenda pembangunan dan khidmat kerajaan dapat disampaikan secara menyeluruh sehingga ke akar umbi,” katanya.
PMR diteruskan tahun ini dengan Perak sebagai lokasi pertama yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berperanan sebagai kementerian peneraju bagi PMR 2026 Perak yang menyediakan lebih 200 perkhidmatan kerajaan serta pelbagai pengisian menarik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial