KEPALA BATAS, 5 April (Bernama) -- Kesungguhan dan dedikasi guru Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK) Bumbong Lima, di sini mendidik pelajar berkeperluan khas, khususnya yang menghidap autisme membuahkan hasil apabila calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 sekolah itu meraih keputusan cemerlang.
Di sebalik pencapaian itu, terserlah komitmen luar biasa pendidik yang bukan sahaja mengajar mengikut silibus, malah menyesuaikan kaedah pembelajaran mengikut keupayaan individu.
Pengetua sekolah Rosiah Mohamad Ariff berkata kejayaan itu hasil usaha kolektif guru yang tidak berputus asa membimbing murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) untuk menghadapi cabaran pembelajaran dan peperiksaan.
“Guru-guru di sini bukan sekadar mengajar, tetapi menjadi pembimbing, penggerak dan juga rakan kepada pelajar. Mereka memahami keperluan emosi serta tingkah laku pelajar autistik yang memerlukan pendekatan berbeza.
“Ada yang meluangkan masa di luar waktu sekolah untuk memastikan pelajar benar-benar faham sesuatu topik sebelum melangkah ke peringkat seterusnya selain menggunakan pelbagai teknik untuk mengekalkan tumpuan pelajar,” katanya kepada Bernama.
Beroperasi sejak Oktober 2023, sekolah yang dirasmikan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek itu menerima semua kategori MBPK, iaitu ketidakupayaan pendengaran, penglihatan, pertuturan, fizikal, masalah pembelajaran dan ketidakupayaan pelbagai.
Daripada enam calon SPM 2025, terdiri daripada empat menghidap autisme dan dua masalah pembelajaran, semua mereka memperoleh keputusan cemerlang.
Rosiah berkata sekolah itu mempunyai 51 guru namun hanya lapan dengan opsyen pendidikan khas manakala jumlah pelajar 150 orang.
“Pendekatan yang digunakan termasuk pembelajaran secara visual, pengulangan intensif dan sesi bimbingan individu yang memberi fokus kepada kekuatan setiap pelajar. Saya berterima kasih kepada semua guru kerana begitu komited dan sangat sabar melayan semua anak-anak di sini,” katanya.
Guru Bahasa Melayu T. Selvam, 55, yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam pendidikan khas berkata pengajaran, khususnya kepada pelajar autistik menuntut kesabaran yang tinggi, kreativiti dan komitmen berterusan bagi memastikan setiap pelajar mendapat peluang pendidikan yang adil dan berkesan.
Mengakui berhadapan pelbagai cabaran termasuk mengurus tingkah laku pelajar, beliau menyesuaikan kaedah pengajaran serta memastikan tahap tumpuan murid kekal optimum sepanjang sesi pembelajaran.
Guru Matematik Mardhati Mohd Said, 44, berkata setiap pelajar autistik mempunyai keunikan tersendiri dan memerlukan pendekatan berbeza berbanding pelajar arus perdana.
“Ada pelajar yang sensitif kepada bunyi (dan) ada yang sukar berkomunikasi. Jadi kita perlu sentiasa kreatif memahami emosi mereka terlebih dahulu. Saya juga buat kelas tambahan secara individu supaya mereka lebih faham,” katanya.
Sementara itu, suri rumah Nor Hazanirianty Abdul Razak, 44, berkata dirinya dan suami tidak menyangka anak mereka Muhammad Hazeem Zikry Mohd Hazree, 18, yang menghidap autisme memperoleh keputusan cemerlang 6A 1B kerana keadaannya yang sukar diduga terutama ketika tantrum dan meltdown.
“Kami dari Besut, Terengganu dan menyerahkan sepenuhnya kepercayaan kepada guru di sini. Selain kemudahan yang baik, guru sangat terlatih mengendalikan anak-anak istimewa. Alhamdulillah, bukan sahaja akademik, Hazeem juga kini lebih berdikari,” katanya.
Muhammad Hazeem Zikry berkata gembira belajar di SMKPK Bumbong Lima dan berhasrat menyambung pengajian dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) kerana minat yang mendalam terhadap Bahasa Inggeris.
“Terima kasih kepada semua guru yang sabar mengajar dan memberikan dorongan kepada kami sejak mula saya belajar di sini. Alhamdulilah usaha mereka telah membuat kami mendapat keputusan cemerlang dalam SPM,” katanya.
Seorang lagi ibu pelajar cemerlang Rafiqah Samsudin, 51, berkata usaha gigih guru bukan sahaja meningkatkan pencapaian akademik anaknya Muhammad Aqil Aiman Fuzi, 18, yang memperoleh 6A 1B, malah membina keyakinan diri dan kemahiran sosial remaja itu.
“Mereka sangat sabar, komited dan tidak pernah berputus asa dalam mendidik anak saya walaupun berhadapan pelbagai cabaran. Sepanjang anak saya di asrama, dia sangat seronok dapat bersama-sama rakan, jadi saya tidak bimbang,” kata ibu tunggal itu.
Wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Khairul Anuar Ariffin, 55, turut memuji komitmen tinggi guru di sekolah berkenaan.
“Kami amat menghargai pengorbanan mereka yang tidak berkira dari segi masa dan wang ringgit. Ada yang sanggup mengadakan kelas tambahan hingga malam selain menyediakan pelbagai makanan bagi menarik minat pelajar mengikuti kelas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial