Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rakyat Malaysia Diseru Perkukuh Solidariti, Sokong Misi GSF Ke Gaza - Zulkifli

06/04/2026 01:44 PM

PUTRAJAYA, 6 April (Bernama) -- Rakyat Malaysia diseru memperkukuh solidariti kemanusiaan dan menyumbang dalam pelbagai bentuk bagi membantu rakyat Palestin, khususnya sempena pelepasan delegasi negara menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata meskipun dunia berdepan konflik geopolitik dan krisis tenaga global, rakyat Malaysia tidak seharusnya melupakan penderitaan rakyat Palestin yang terus dizalimi.

Beliau berkata bantuan kepada rakyat Palestin boleh disalurkan dalam pelbagai bentuk termasuk doa, sumbangan kewangan serta usaha meningkatkan kesedaran mengenai krisis kemanusiaan yang berlaku.

Ad Banner
Ad Banner

“Ini bukan hanya isu agama tetapi isu kemanusiaan sejagat yang memerlukan sokongan semua pihak tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Bicara Korporat dan Liqa’ Mahabbah bersama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Korporat dan Wakil Tetap Sekretariat Dakwah Korporat di sini hari ini.

Zulkifli berkata pendekatan lebih tersusun bagi membantu rakyat Palestin kini dilaksanakan melalui penyelarasan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah platform Ops Ihsan bagi memastikan bantuan dapat disampaikan secara lebih berkesan dan berintegriti.

Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta agensi agama lain, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia dalam misi kemanusiaan global.

“Sudah sampai masanya kita bergerak di bawah satu payung membawa nama Malaysia agar setiap usaha bantuan ini lebih terselaras dan memberi impak yang lebih besar,” katanya.

Delegasi GSF, yang menghimpunkan lebih 80 kapal dan 1,000 peserta dari seluruh dunia, dijadualkan berlepas dari Barcelona ke Gaza pada 12 April ini bagi mencabar kepungan Israel ke atas wilayah berkenaan.

Misi itu menggabungkan usaha terancang yang diselaraskan dengan mobilisasi antarabangsa di darat, merangkumi solidariti, advokasi undang-undang serta tekanan masyarakat di peringkat akar umbi merentasi pelbagai negara.

Misi Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza serta penyertaan dalam GSF itu turut disertai dua petugas Bernama, iaitu wartawan Ahmad Aidil Syukri Hamzah dan jurugambar Zulfadhli Zulkifli.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan