Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penduduk Rantau Abang Bimbang Kemunculan Dua Ekor Beruang Matahari

06/04/2026 02:18 PM

DUNGUN, 5 April (Bernama) -- Penduduk di Kampung Rantau Abang di sini bimbang dengan kemunculan dua ekor beruang matahari yang berkeliaran di kawasan itu sejak Mac lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Rantau Abang, Atan Mat Nor, 64, berkata dua ekor beruang itu di pekarangan rumahnya di Jalan Masjid Lama, Kampung Rantau Abang pada 3 petang, 27 Mac lepas.

Beliau berkata kemunculan haiwan liar berkenaan yang berkeliaran mencari makanan sempat dirakam anaknya yang kebetulan berada di rumah.  

Ad Banner
Ad Banner

“Sebelum ini, penduduk mendakwa beruang berkenaan hanya berkeliaran pada waktu malam, namun kini haiwan itu dilihat semakin berani apabila muncul pada hari siang sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Rantau Abang, di sini hari ini.

Beliau berkata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sebelum ini telah menangkap dua ekor beruang berkeliaran di kampung itu masing-masing pada Oktober 2025 dan Januari lepas.

Beruang yang masih berkeliaran itu dipercayai datang dari kawasan hutan berdekatan Bukit Penyu, Rantau Abang.

“Saya bimbang kedua-dua beruang itu bertindak lebih agresif selepas ini termasuk berkemungkinan menyerang penduduk kampung.

“Bagaimanapun, difahamkan anggota Perhilitan telah memasang perangkap di kampung ini untuk menangkap beruang berkenaan," katanya.

Seorang penduduk Rafiuddin Mamat, 36, berkata beruang berkenaan bukan sahaja makan dan merosakkan buah kelapa yang gugur berhampiran rumahnya, malah turut menyelongkar tong sampah bagi mencari makanan.

Haiwan liar itu juga minum empat botol minyak kelapa sawit terpakai seberat keseluruhan 20 kilogram yang disimpan berdekatan rumahnya.

"Sebahagian pagar di rumah saya turut dirosakkan beruang berkenaan yang ingin menceroboh masuk pekarangan rumah saya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan