PUTRAJAYA, 6 April (Bernama) -- Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Induk Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) kali ke-2, hari ini bersetuju untuk melanjutkan pelaksanaan VM2026 sehingga penghujung tahun 2027.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan serta persetujuan selanjutnya.
“Keputusan ini diambil bagi membolehkan Malaysia mengambil pendekatan proaktif dalam memperkukuh strategi promosi, menonjolkan negara sebagai destinasi yang selamat, stabil dan berdaya saing, serta merebut peluang daripada perubahan corak perjalanan pelancong.
“Langkah ini turut mengambil kira perkembangan semasa, termasuk konflik yang tercetus pada 28 Feb 2026 di Timur Tengah yang telah memberi kesan ketara terhadap kestabilan serantau serta menjejaskan sektor pelancongan global,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Induk VM2026 kali ke-2 di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Induk VM2026 berkata unjuran menunjukkan ketibaan pelancong dari Timur Tengah boleh merosot antara 11 peratus hingga 27 peratus.
“Ini memberi kesan kepada negara-negara tumpuan pelancongan di Asia dan ASEAN. Konflik ini juga telah mengganggu laluan penerbangan antarabangsa, meningkatkan kos perjalanan dengan kenaikan harga minyak dan kos pengangkutan.
“Keadaan ini juga telah menurunkan keyakinan pelancong, yang dijangka memberi implikasi kepada aliran pelancongan dunia dalam jangka masa terdekat,” katanya.
Sebagai antara agenda nasional, Ahmad Zahid berkata kempen ini menyasarkan peningkatan pendapatan pelancongan, memperkukuh daya saing Malaysia dalam industri pelancongan serta menjadikan sektor ini sebagai antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Jawatankuasa ini terdiri daripada enam jawatankuasa kerja yang diterajui oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Komunikasi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pengangkutan, dengan keanggotaan daripada pelbagai agensi kerajaan berkaitan.
“Setiap kementerian dan agensi telah membentangkan pencapaian program serta perancangan aktiviti sempena kempen VM2026,” katanya.
Beliau berkata kerajaan komited memastikan VM2026 dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh, dengan setiap pihak memainkan peranan secara bersepadu.
“Usaha ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik, menarik lebih ramai pelawat, meningkatkan tempoh penginapan serta perbelanjaan pelancong, dan menonjolkan Malaysia sebagai destinasi selamat, stabil dan berdaya saing,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial