KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Sistem Pemantauan Operasi Tugas atau SPOT-Me bagi merekod kehadiran penjawat awam secara digital, berada pada tahap optimum dan bersedia sepenuhnya untuk menyokong pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) berskala besar bermula 15 April ini.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Aplikasi Jabatan Digital Negara Elisah Satim berkata rekod penggunaan semasa membuktikan keupayaan sistem berkenaan.
“Buat pada masa ini, sistem SPOT-Me berada dalam keadaan stabil dan bersedia untuk menyokong keperluan BDR...sekarang ini ia digunakan lebih 40,000 pengguna dan 265 agensi. Tahap prestasi sistem ini juga baik dan down time pun pada tahap yang minimum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Podcast Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA): Dasar Bekerja Dari Rumah - Krisis Tenaga Global yang disiarkan di Youtube dan Facebook JPA, hari ini.
Selain Elisah, siaran audio siar itu turut menampilkan Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Gaji dan Elaun JPA Zanariah Zainuddin, manakala Ketua Komunikasi Korporat JPA Dr Diyana Hassim bertindak sebagai moderator.
SPOT-Me dibangunkan pada 2020 oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), berfungsi merekodkan daftar masuk/keluar waktu pegawai mula dan tamat bertugas sama ada di pejabat atau lokasi lain yang diarahkan, serta membolehkan pegawai melaporkan tugasan yang diselesaikan untuk tujuan pengesahan.
Dalam pada itu, Elisah berkata beberapa langkah intervensi awal telah digerakkan Jabatan Digital Negara supaya sistem tersebut tidak mengalami sebarang gangguan teknikal, apabila jumlah pengguna dijangka melonjak kepada 400,000 orang pada 15 April.
Beliau berkata sebagai langkah tambahan, pihaknya akan melaksanakan ujian tekanan bagi mengesahkan sistem SPOT-Me itu berupaya menghadapi penggunaan serentak berskala besar.
Sementara itu, Zanariah berkata penetapan kelayakan minimum lapan kilometer dari rumah ke pejabat adalah titik tengah yang munasabah, bagi mencapai objektif penjimatan kewangan kerajaan tanpa membebankan penjawat awam.
Sebelum ini, surat edaran “Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah bagi Perkhidmatan Awam berikutan Konflik Asia Barat” yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, menyatakan pegawai perkhidmatan awam Persekutuan yang berkhidmat di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan semua ibu negeri dengan jarak perjalanan sehala ke pejabat melebihi lapan kilometer layak melaksanakan dasar BDR mulai 15 April ini.
Surat edaran itu memaklumkan beberapa sektor dikecualikan, termasuk perkhidmatan keselamatan dan pertahanan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Imigresen Malaysia.
Sektor kesihatan yang memberikan perkhidmatan kritikal, termasuk pegawai perubatan, pegawai farmasi, pegawai pergigian dan jururawat, selain pegawai pendidikan yang terlibat dengan sesi persekolahan turut dikecualikan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial