Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pulau Pinang Laksana Pemutihan PPR Dan RSKN, Pastikan Hanya Golongan Layak Kekal - Exco

06/04/2026 08:39 PM

GEORGE TOWN, 6 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan melaksanakan program pemutihan bagi unit Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN) yang jumlah tunggakan sewaannya telah mencecah lebih RM2 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Datuk Seri S Sundarajoo berkata langkah itu bertujuan memastikan hanya golongan benar-benar layak terus menikmati kemudahan perumahan kos rendah yang disediakan kerajaan.

Beliau berkata lebih 30 peratus penghuni dijangka terpaksa mengosongkan unit masing-masing selepas didapati tidak lagi memenuhi syarat kelayakan, termasuk had pendapatan isi rumah yang ditetapkan iaitu RM1,500 ke bawah.

Ad Banner
Ad Banner

"Kerajaan negeri menetapkan tempoh sewaan PPR selama tiga tahun dan boleh dilanjutkan hingga maksimum enam tahun, bergantung kepada keadaan ekonomi penghuni," katanya pada sidang media di Komtar di sini hari ini.

Bagaimanapun Sundarajoo berkata berdasarkan rekod semasa, terdapat penghuni yang tinggal di PPR dan RSKN hingga hampir 20 tahun walaupun skim sewaan itu sepatutnya bersifat sementara, malah terdapat penyewa masih kekal walaupun pendapatan isi rumah mereka telah melebihi had kelayakan RM1,500 sebulan.

Sebagai langkah awal, beliau berkata kerajaan negeri telah mengeluarkan 18 notis kepada penyewa di PPR Taman Manggis yang dijadikan projek perintis bagi pelaksanaan program berkenaan melibatkan penghuni yang tinggal melebihi tempoh dibenarkan atau pendapatan isi rumah telah meningkat.

"Penyewa terlibat diberi tempoh tiga bulan untuk mengosongkan rumah dengan lanjutan boleh dipertimbangkan mengikut kes khususnya bagi mereka yang menghadapi kesulitan seperti masalah kesihatan atau kehilangan punca pendapatan secara tiba-tiba," katanya.

Sundarajoo berkata terdapat empat skim PPR di Pulau Pinang iaitu di Taman Manggis, Taman Bagan Jaya, Mak Mandin dan Permatang Tok Suboh, yang kesemuanya mencatat kadar penghunian tinggi.

Beliau berkata daripada 999 unit PPR yang disediakan, 934 unit telah dihuni dengan 268 unit dikenal pasti mempunyai tunggakan sewaan berjumlah RM254,633 manakala bagi RSKN pula, daripada 1,931 unit disediakan, sebanyak 1,591 unit telah dihuni dengan 907 unit mencatat tunggakan mencecah RM1.77 juta.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan