KOTA KINABALU, 6 April (Bernama) -- Perintah penggantungan pelaksanaan penghakiman berhubung semakan dan pembayaran geran khas 40 peratus hasil kepada Sabah harus dilihat sebagai ruang masa tambahan bagi memperincikan aspek pengiraan geran itu secara lebih teliti, telus dan berintegriti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata proses itu melibatkan penilaian yang merangkumi tempoh panjang serta memerlukan penelitian data kewangan dan rekod sejarah yang menyeluruh.
Sehubungan itu, beliau berkata keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi berhubung semakan taksiran dan pembayaran Pemberian Khas Sabah itu, tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memperlahankan atau menghentikan momentum kerja dan usaha yang sedang berjalan.
“Saya menggesa supaya Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Malaysia dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah meneruskan proses pengiraan, pengesahan data dan rundingan teknikal yang telahpun dimulakan sebelum ini.
“Momentum kerja yang telah dibina tidak wajar dihentikan. Sebaliknya, ia perlu diperkukuh agar formula pengiraan dan jumlah bayaran yang adil serta tepat dapat dimuktamadkan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 17 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan dari 1974 hingga 2021.
Mustapha berkata pendirian itu selari dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu isu hak 40 peratus Sabah diselesaikan secara tuntas berlandaskan semangat Perlembagaan Persekutuan dan keadilan bagi negeri Sabah.
Beliau menjelaskan komitmen Kerajaan Persekutuan adalah jelas dalam memastikan hak Sabah dilaksanakan menerusi pendekatan bertanggungjawab, berasaskan fakta dan kerjasama erat bersama Kerajaan Negeri.
Mustapha turut mengingatkan semua pihak agar mengambil kira situasi kewangan negara ketika berusaha mencapai penyelesaian tersebut susulan peperangan di Asia Barat.
“Keutamaan sekarang ialah memastikan kesan krisis dapat diminimumkan dan kebajikan rakyat terus mendapat perhatian,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial