Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Aktiviti Rempit Di LTSIP Terkawal, Malaysia Airports Perketat Langkah Pencegahan

07/04/2026 10:30 AM

KOTA BHARU, 7 April (Bernama) -- Aktiviti rempit di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) berada dalam keadaan terkawal dan berjaya diselesaikan.

Malaysia Airports dalam kenyataan memaklumkan langkah proaktif telah diambil dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memperkukuh aspek penguatkuasaan serta pencegahan. 

Menurut kenyataan itu, kerjasama strategik antara agensi berkenaan memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan kawasan lapangan terbang terus terjamin selain mengelakkan aktiviti tidak sihat itu berulang.

Ad Banner
Ad Banner

“Selain penguatkuasaan, pihak pengurusan LTSIP turut melaksanakan langkah mengehadkan akses ke sebahagian laluan di kawasan kerbside dengan penggunaan kon jalan selepas waktu penerbangan terakhir, khususnya pada waktu malam.

“Langkah itu diambil sebagai usaha tambahan untuk menutup ruang kepada individu tidak bertanggungjawab daripada menjadikan kawasan berkenaan sebagai lokasi aktiviti rempit,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Malaysia Airports menegaskan komitmennya untuk terus memastikan keselamatan dan ketenteraman di kawasan lapangan terbang sentiasa terpelihara demi kesejahteraan pengguna serta orang awam.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengarahkan JPJ untuk menjalankan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di LTSIP.

Beliau dilapor berkata tindakan itu bagi mengekang kelakuan golongan mat rempit yang seakan menjadikan litar lumba di depan balai pelepasan terminal.

Media sebelum ini melaporkan, balai pelepasan di terminal baharu LTSIP Pengkalan Chepa di sini yang kurang sebulan beroperasi sepenuhnya, dijadikan litar lumba oleh mat rempit.

Aktiviti terbabit dikatakan berlaku sejak Ramadan lepas sehingga berlarutan pada Jumaat malam apabila mula tular dalam media sosial selepas dirakam oleh pengguna lapangan terbang berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan