PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Usaha menggubal semula Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional (SKRN) akan digerakkan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam satu kenyataan memaklumkan usaha itu mengambil kira perkembangan semasa serta peningkatan polemik berkaitan perpaduan yang menggugat keharmonian masyarakat sejak kebelakangan ini.
Cadangan penubuhan SKRN pernah dipersetujui secara dasarnya pada 2019, namun pelaksanaannya tidak diteruskan pada 2020 berikutan isu pertindihan bidang kuasa dengan agensi sedia ada seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut KPN, cadangan penubuhan SKRN yang baharu itu akan memberi penekanan kepada pendekatan pencegahan dan pendamaian.
"Pendekatan ini tidak hanya bersifat menghukum semata-mata, sebaliknya lebih menumpukan kepada usaha pencegahan awal, mediasi serta penyelesaian secara harmoni dan konstruktif," menurut kenyataan itu.
KPN berkata langkah itu juga selaras dengan amalan terbaik antarabangsa seperti Maintenance of Religious Harmony Act (MHRA) yang dilaksanakan di Singapura, Australian Human Rights Commission (AHRC) di Australia dan model National Peace and Reconciliation Commission (NPRC) di Zimbabwe.
Menurutnya antara pendekatan AHRC yang boleh dicontohi adalah pembentukan satu unit khusus memfokuskan kepada kohesi sosial melalui pemantauan insiden perkauman, pembinaan perkongsian strategik antara pemegang taruh, serta pendidikan masyarakat dalam menangani diskriminasi melalui pendekatan bukan perundangan seperti mediasi dan advokasi.
Manakala model NPRC pula memperlihatkan aspek pengesanan awal kawasan berpotensi konflik, pelaksanaan mediasi antara komuniti, serta pembangunan program pencegahan bagi mengelakkan pertikaian berulang pada masa hadapan.
"Kementerian akan meneliti agar suruhanjaya ini berupaya menjalankan siasatan terhadap isu yang menjejaskan keharmonian, memanggil pihak berkaitan untuk memberi keterangan, serta mengeluarkan syor tindakan dan langkah pencegahan kepada kerajaan dan agensi berkaitan," menurut kenyataan itu.
KPN memaklumkan suruhanjaya itu juga dijangka berperanan mengendalikan proses mediasi secara rasmi dan menerbitkan laporan awam, tertakluk kepada had tertentu demi kepentingan keselamatan negara.
"JPNIN telah memulakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak bermula awal April. Sesi ini akan diteruskan secara inklusif dengan penglibatan agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik, komuniti setempat serta pemegang taruh berkaitan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial