MELAKA, 8 April (Bernama) -- Tiada keperluan untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengiringi kapal dari negara ini selepas dibenarkan keluar dari Selat Hormuz oleh Iran.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata Malaysia mendapat kerjasama penuh daripada Iran, hasil hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua negara.
“Kita bersyukur kerana mendapat kerjasama yang baik daripada kerajaan Iran. Kita harap dia (Iran) juga dapat membantu isu-isu yang terkait dengan keperluan tenaga dan ekonomi terutamanya di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Ikhtiar Autisme Angkatan Tentera Malaysia (IA-ATM) Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Umi Kem Terendak di Sungai Udang di sini hari ini.
Pada Isnin lepas, Kedutaan Iran di Malaysia menerusi akaun rasmi X memaklumkan kapal Malaysia pertama telah melalui Selat Hormuz.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad dilaporkan berkata perbincangan dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian membolehkan Malaysia mendapatkan pelepasan bagi tujuh kapal yang terkandas di selat berkenaan untuk meneruskan perjalanan mereka.
Perjalanan di Selat Hormuz, sebuah laluan sempit strategik yang dilalui kira-kira 20 peratus bekalan minyak mentah dan gas dunia, terjejas berikutan serangan berterusan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran sejak 28 Feb lepas.
Mengenai program IA-ATM di PPDK Umi Kem Terendak, ia dilaksanakan sejak 4 Ogos 2025 hingga 4 Jun 2026 bagi membantu 20 kanak-kanak autisme dari PPDK berkenaan menjalani sesi Pelajaran-Terapi merangkumi 12 modul baharu direka khusus Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) bagi program berkenaan.
Hadir sama Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota ATM Mej Jen Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin, Pengarah Wilayah Selatan Tabung Haji Rozimin Ahmed Kamil, Pengerusi NASOM Julian Wong Ming Vui dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Halyjah Muhammad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial