KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Teknologi rumah pintar semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia apabila lebih banyak isi rumah menggunakan peranti berhubung bagi memudahkan kehidupan serta meningkatkan kecekapan dan kawalan mereka.
Daripada vakum robotik hingga kepada sistem penyaman udara dan aplikasi kawalan pencahayaan rumah yang dahulu dianggap sebagai kelengkapan mewah, kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.
Perubahan ini mencerminkan peralihan lebih memberangsangkan dalam tingkah laku pengguna, dengan teknologi rumah pintar berkembang daripada kelompok pengguna awal kepada arus perdana, termasuk dalam kalangan komuniti pinggir bandar.
Seiring dengan peningkatan itu, Xiaomi giat memacu pengembangan ekosistem rumah pintar di Malaysia dengan tumpuan kepada aspek mampu milik dan kelancaran integrasi bagi menarik lebih ramai pengguna.
“Berdasarkan pemerhatian kami dan penglibatan dengan pengguna tempatan, rakyat Malaysia semakin banyak menggunakan peranti pintar dan yang berkaitan dengan Kecerdasan Buatan Internet Pelbagai Benda (AIoT) dalam kehidupan harian mereka, terutama sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Eddie Huang, Pengurus Negara Xiaomi Malaysia kepada Bernama baru-baru ini.
Menurut data Bridge Market Research, pasaran rumah pintar di Malaysia bernilai USD1.24 bilion pada 2024 dan dijangka mencapai USD4.08 bilion menjelang 2032, berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 26.18 peratus.
Dalam ekosistem pertumbuhan ini, keselamatan dan kawalan akses dijangka menjadi segmen paling pesat berkembang, manakala bidang lain seperti kawalan hiburan, sistem pencahayaan, penyelesaian dapur pintar, perkakas rumah, serta sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) juga terus berkembang.
Bagi Xiaomi, perkembangan ini telah diterjemahkan kepada permintaan tempatan yang lebih kukuh, dengan barisan produk Mijia, termasuk penyaman udara, peti sejuk, dan mesin basuh-pengering semakin mendapat sambutan di Malaysia, disokong oleh harga yang kompetitif dan integrasi yang mudah.
Syarikat itu juga melihat Malaysia sebagai sebahagian daripada peluang serantau yang lebih luas, memandangkan Asia Tenggara terus muncul sebagai satu daripada rantau ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia dan sebagai tindak balas, Xiaomi memperluaskan portfolio produknya merangkumi produk rumah pintar, peranti boleh pakai, dan telefon pintar.
Perluasan itu berlandaskan strategi “Human x Car x Home” yang bertujuan mewujudkan ekosistem yang sepenuhnya berhubung dengan disokong oleh pengeluaran berskala besar dan rantaian bekalan yang bersepadu, termasuk kilang perkakasan rumah pintar di Wuhan, China
“Fasiliti di Wuhan menunjukkan tahap automasi canggih yang mematuhi piawaian kawalan kualiti tertinggi serta keupayaan pengeluaran berskala besar pada kos yang lebih rendah. Kecekapan ini membolehkan Xiaomi menyalurkan penjimatan kepada pengguna sambil mengekalkan kebolehpercayaan produk,” katanya.
Skala operasi sedemikian membolehkan syarikat mengembangkan ekosistem rumah pintar merentas empat wilayah dan 14 negara, memperluaskan pengalaman hidup saling terhubung ke pengguna global yang semakin berkembang.
Menurut Xiaomi teras ekosistem yang semakin berkembang ini ialah Kecerdasan Buatan (AI) yang membolehkan peranti mempelajari tabiat pengguna, mengoptimumkan penggunaan tenaga dan memberi bantuan yang boleh dirancang.
Secara praktikal, ini bermakna peranti menjadi lebih pintar dan adaptif. Vakum robotik kini menggunakan ciri mengenal pasti halangan dan kotoran dipacu AI untuk meningkatkan kecekapan pembersihan, manakala penyaman udara Mijia memanfaatkan pembelajaran mendalam berasaskan awan, data besar, dan pengesanan masa nyata untuk menyesuaikan diri mengikut keutamaan pengguna.
“Dengan keputusan yang dipacu AI, fungsi dioptimumkan secara automatik, memudahkan pemasangan serta memberi keselesaan yang lebih pintar dan penjimatan tenaga,” kata Huang.
Bagi menyokong usaha pengembangan tersebut, Xiaomi akan terus melabur secara besar-besaran dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menjadi asas kepada kemajuan teknologi dan strategi premium syarikat itu.
Laporan kewangan suku keempat terkini syarikat berkenaan menunjukkan perbelanjaan R&D mencecah RMB33.1 bilion pada 2025 (kira-kira RM19.4 bilion), meningkat 37.8 peratus daripada tahun sebelumnya, dengan jumlah keseluruhan petugas R&D meningkat kepada 25,457 orang.
Selain itu, dalam tempoh lima tahun jumlah pelaburan R&D terkumpul adalah RMB105.5 bilion (kira-kira RM61.8 bilion), dengan sekurang-kurangnya RMB60 bilion (kira-kir RM35.1 bilion) diperuntukkan bagi pembangunan AI bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Seiring evolusi gaya hidup pintar, Xiaomi memaklumkan syarikat itu akan terus mengukuhkan kedudukan jangka masa panjangnya, selain komitmen untuk memperluaskan penawaran AIoT dan rumah pintar di Malaysia, dengan lebih banyak ciri canggih dan produk baharu dijangka dilancarkan dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial