Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

'Counselor On Wheels' UPSI Raih Pengiktirafan MBOR

08/04/2026 08:01 PM

IPOH, 8 April (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pelaksanaan First Mobile Mental Health Counseling Program menerusi inisiatif ‘Counselor on Wheels’ (COW), menjadikannya program kaunseling kesihatan mental bergerak pertama di negara ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof Dr Norkhalid Salimin berkata inisiatif berkenaan merupakan satu langkah proaktif universiti dalam mendekati komuniti dengan membawa perkhidmatan intervensi kesihatan mental secara terus kepada masyarakat.

“Melalui inovasi ‘Counselor on Wheels’, Bas Pendidikan UPSI diubah menjadi platform perkhidmatan kaunseling bergerak yang bukan sahaja menumpukan aspek pencegahan dan psikopendidikan, malah turut menyediakan intervensi serta rujukan kepada pakar.

Ad Banner
Ad Banner

“Program ini membuktikan universiti bukan sekadar pusat penyebaran ilmu, tetapi juga berperanan menyelesaikan isu masyarakat khususnya dalam aspek kesejahteraan mental,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengiktirafan itu disampaikan oleh wakil MBOR Siti Hajar Johor sempena Majlis Perasmian First Mobile Mental Health Counseling dan Sambutan Bulan Kesedaran Autisme yang berlangsung di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI di Tanjong Malim hari ini.

Selain itu, Norkhalid berkata pasukan pelaksana yang terdiri daripada pegawai psikologi dan fasilitator mahasiswa terlatih dalam Psychological First Aid (PFA) telah berjaya menyantuni seramai 7,648 peserta di 38 lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Inisiatif ini diperkukuh dengan penggunaan teknologi realiti maya (VR) yang membantu memberikan pengalaman intervensi lebih efektif, sekali gus mengurangkan stigma masyarakat terhadap rawatan kesihatan mental,” katanya.

Sementara itu, majlis sama turut menyemarakkan Sambutan Bulan Kesedaran Autisme yang diraikan sepanjang April bagi meningkatkan kefahaman serta penerimaan masyarakat terhadap individu autisme. 

Norkhalid berkata autisme perlu dilihat sebagai satu keunikan yang memerlukan sokongan dan kefahaman, bukan penghakiman.

“Sebagai institusi pendidikan, UPSI komited membina ekosistem inklusif yang bukan sahaja meningkatkan kesedaran, tetapi juga memperkukuh penerimaan terhadap kepelbagaian dalam masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan