Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sidang DUN Perak 14 Hingga 21 April, Satu Enakmen Dibentang

09/04/2026 01:58 PM

IPOH, 9 April (Bernama) -- Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 akan diadakan pada 14 April ini, dengan tempoh persidangan berlangsung selama enam hari.

Yang Dipertua DUN Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim dijadual berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi pada Selasa.

"Seperti kelazimannya, sepanjang persidangan tersebut, sesi soalan lisan akan berlangsung dalam  tempoh satu jam. 

Ad Banner
Ad Banner

"Seperti tahun lepas, Dewan Negeri telah memulakan lafaz Ikrar Rukun Negara. Pada tahun ini, lafaz ikrar akan dibuat pada persidangan kedua iaitu pada 15 April, Rabu sebaik sahaja selepas bacaan doa," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama  Timbalan Yang Dipertua DUN Jenny Choi Tsi Jen dan Setiausaha DUN Mohd Ikram Ahmad. 

Mohammad Zahir berkata Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah DiRaja akan dibawa dan dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad pada 15 April. 

Beliau berkata sebanyak 45 Ahli DUN (ADUN) akan diberikan peluang untuk berbahas berkaitan usul tersebut iaitu 19 daripada kerajaan dan 26 wakil pembangkang. 

Sementara itu, beliau berkata sesi penggulungan dijadualkan berlangsung pada 20 dan 21 April. 

Menteri Besar juga dijangka membentangkan Rang Undang-Undang, Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Pemakaian) 2026 pada sidang kali ini. 

"Terdapat tiga usul akan dibawa pada persidangan kali ini iaitu Usul Cadangan Pindaan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan serta Usul Melantik Ahli Jawatankuasa Pemilih.

"Selain itu turut dibawa Usul Mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas iaitu Masyarakat Menua, Miskin Bandar, Bandar Pintar dan Sekuriti Makanan," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan