Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ABIM Seru Umat Islam Pegang Prinsip Tabayyun, Wacana Berfakta Dalam Isu Krisis Tenaga Global

09/04/2026 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Islam menuntut umatnya agar tidak mudah diperdaya dan sentiasa berpegang kepada prinsip tabayyun (menyelidik sebelum bertindak), keadilan serta keilmuan dalam menilai sesuatu maklumat dan kepimpinan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata penggunaan istilah berat dalam ruang awam ketika memberi komentar terhadap sesuatu isu termasuk berkaitan krisis tenaga global yang turut memberi kesan kepada Malaysia perlu disandarkan kepada fakta sahih dan analisis yang bertanggungjawab.

Beliau berkata Malaysia juga memerlukan budaya politik yang matang berteraskan ketepatan fakta, kejujuran dasar dan tanggungjawab bersama.

Ad Banner
Ad Banner

“Dalam keadaan krisis, disiplin fakta dan kejujuran intelektual bukan lagi pilihan tetapi keperluan asas dalam kepimpinan negara.

“Sesungguhnya kekuatan umat terletak pada keupayaan memahami realiti dengan tepat, menilai dengan adil dan bertindak dengan penuh amanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan umat Islam agar tidak terus membiarkan diri ditipu oleh pelbagai helah politik dan ekonomi termasuk isu kenaikan harga minyak yang didakwa tidak berasas.

Ahli Parlimen Marang itu berkata tiada sebab kukuh untuk harga minyak dinaikkan di Semenanjung memandangkan negara ini mempunyai sumber petroleum sendiri dan tidak terlibat dalam sekatan antarabangsa terhadap Iran di Selat Hormuz.

Dalam konteks semasa, Ahmad Fahmi berkata isu tenaga tidak boleh dipisahkan daripada realiti global dan ketegangan geopolitik di Asia Barat termasuk gangguan di laluan strategik seperti Selat Hormuz memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan dan harga tenaga dunia.

Beliau berkata keadaan itu menjejaskan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dan kesannya juga dirasai banyak negara tanpa mengira mazhab atau pendirian politik.

Ahmad Fahmi bagaimanapun berkata perbezaan pandangan terhadap dasar kerajaan tidak harus mewajarkan perbuatan menuduh kerajaan menipu tanpa analisis ekonomi dan fakta yang disahkan kerana ia berisiko mengelirukan masyarakat serta mengalihkan fokus daripada perbahasan dasar secara lebih substantif.

Menurut Ahmad Fahmi, peranan pembangkang sebagai mekanisme semak dan imbang penting khususnya dalam suasana global yang tidak menentu, namun ia perlu dilaksanakan secara berwibawa dengan mengemukakan cadangan dasar yang konkrit serta berasaskan fakta dan bukan sekadar retorik.

Pada masa sama, kerajaan perlu terus memperkukuh komunikasi dasar dengan telus dan konsisten bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar berkesan serta memperkasa keselamatan tenaga negara.

“Perbincangan awam perlu ditumpukan kepada usaha memperkukuh perlindungan kepada golongan rentan untuk menjamin keselamatan tenaga serta memastikan keseimbangan antara kebajikan rakyat dan kelestarian fiskal,” katanya.

Bagi mendepani cabaran krisis tenaga yang dijangka berpanjangan, beliau turut menyeru semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang dan rakyat untuk memperkukuh semangat perpaduan nasional sebagai asas kekuatan negara.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Keadilan Amidi Abdul Manan berkata Abdul Hadi keliru dalam mengeluarkan logik ketika mengulas isu krisis tenaga global dan cuba mengelirukan masyarakat awam dengan kenyataannya itu. 

Beliau berkata kenaikan harga minyak dunia disebabkan laluan perkapalan terhalang di Selat Hormuz yang menjadi laluan bagi 20 peratus bekalan minyak dunia turut dialami oleh baki 80 peratus lagi bekalan minyak dunia yang melalui laluan lain.

“Ia (kenaikan harga minyak dunia) secara jelas terkait dengan jumlah bekalan yang dihasilkan oleh negara pengeluar serta kos operasi yang meningkat.

“Media melaporkan penurunan 30 peratus pengeluaran minyak oleh negara Teluk memberikan kesan yang signifikan terhadap bekalan minyak dunia. Situasi ini menaikkan harga minyak,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Amidi berkata kegagalan memahami dan menilai sesuatu situasi boleh menimbulkan kesan negatif.

“Dalam hal ini, Abdul Hadi cuba memberikan satu pandangan bahawa kenaikan harga minyak adalah hasil daripada kegagalan pengurusan kerajaan.

“Akhirnya bersemaraklah kebencian dan kemarahan yang boleh menggugat kestabilan politik negara yang akan menguntungkan politik sempit PAS,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan