Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MATTA Fair Pulau Pinang 2026 Sasar 50,000 Pengunjung, Jualan RM30 Juta

09/04/2026 04:15 PM

GEORGE TOWN, 9 April (Bernama) -- Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Pulau Pinang menyasarkan sebanyak 50,000 pengunjung, dengan anggaran jualan RM30 juta sepanjang dua hari acara yang akan berlangsung pada 25 dan 26 April di Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang (PWCC) di sini.

Pengerusi MATTA Pulau Pinang Carolyn Leong berkata sasaran itu boleh dicapai, sekali gus mengatasi hampir RM25 juta yang direkodkan pada edisi tahun lepas, didorong oleh pakej pelancongan yang menarik serta penyertaan kukuh daripada syarikat penerbangan yang menawarkan promosi meluas dan tawaran kompetitif bagi destinasi antarabangsa dan domestik.

Beliau berkata peningkatan penerbangan terus dari Pulau Pinang ke destinasi seperti Qingdao, Shanghai, Chongqing, Guangzhou, Hong Kong dan Shenzhen dijangka terus merangsang permintaan perjalanan.

Ad Banner
Ad Banner

“Sebanyak 320 gerai telah didaftarkan dengan penyertaan 90 pempamer, yang merangkumi pemain antarabangsa dan domestik yang mempamerkan pelbagai produk serta perkhidmatan pelancongan.

“Di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat, kami akan memberi tumpuan kepada destinasi alternatif termasuk Asia, Australia, New Zealand, Afrika Selatan, China, Jepun dan Korea Selatan, selain pelancongan domestik sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 melalui pakej Cuti-Cuti Malaysia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai serta Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Pulau Pinang Dr Annuar Mohamed.

Bersempena TMM 2026, Carolyn berkata MATTA menggalakkan penyertaan lebih besar daripada ejen pelancongan domestik bagi menyokong pemain industri tempatan serta meningkatkan pelancongan domestik, selain menzahirkan penghargaan kepada Tourism Malaysia Wilayah Utara atas sokongan padu dengan penyertaan 20 gerai pada tahun ini, yang mencerminkan komitmen berterusan dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.

Beliau berkata organisasi pelancongan negeri lain yang menyertai pameran itu termasuk Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Johor Tourism, sekali gus meningkatkan lagi kepelbagaian tawaran pada MATTA Fair Pulau Pinang 2026.

Sementara itu, Wong berkata MATTA Fair tahun ini menandakan satu babak penting bagi sektor pelancongan Malaysia, apabila TMM 2026 melangkaui sebuah kempen untuk menjadi usaha strategik nasional bagi meningkatkan ketibaan pelancong antarabangsa, memperkukuh pelancongan domestik serta mempamerkan kepelbagaian, budaya dan pengalaman Malaysia yang kaya, dengan Pulau Pinang memainkan peranan penting dalam visi itu.

“Sebagai satu daripada destinasi paling ikonik di Malaysia, Pulau Pinang menawarkan gabungan unik warisan, gastronomi, budaya dan gaya hidup moden, menjadikannya pemacu utama dalam mencapai sasaran pelancongan negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan