KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Perancangan pembangunan negara perlu beralih kepada model yang lebih inovatif dan dinamik tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan semata-mata, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata dalam mendepani suasana geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar, Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan lama.
Beliau berkata perkara itu ditekankan ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara Ke-50 hari ini, yang turut menyentuh perkembangan mutakhir berkaitan konflik di Asia Barat.
"Mesyuarat ini telah meneliti pelbagai aspek perancangan fizikal negara dengan penekanan kepada pertumbuhan yang seimbang dan mampan, termasuk usaha memperkasa ekonomi tempatan serta memastikan penggunaan tanah yang lebih optimum dan berimpak tinggi," katanya.
Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI kekal komited untuk mengangkat kualiti hidup rakyat melalui penyediaan perumahan mampu milik berkualiti, sistem mobiliti lebih cekap serta pembangunan persekitaran bandar yang selesa dan lestari.
Beliau juga berkata pembangunan fizikal negara mestilah berteraskan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh perancangan tersusun dan pelaksanaan berkesan.
"Insya-Allah, kita akan terus memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial