KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Kementerian Komunikasi mengumumkan beberapa insentif sebagai inisiatif dan komitmen kerajaan dalam usaha memastikan kebajikan karyawan serta kelestarian industri kreatif negara.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata antara inisiatif itu ialah kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Insolvensi Malaysia bagi membantu mengurangkan beban kewangan serta meningkatkan kesejahteraan penggiat industri.
Beliau berkata untuk kelestarian industri kreatif, kementerian turut melancarkan Dana Citra bernilai RM10 juta yang memfokus kepada pembangunan kandungan berteraskan identiti nasional yang melibatkan filem cereka, dokumentari dan filem pendek.
“Mesej yang hendak kita sampaikan adalah kerajaan akan terus membantu para seniman, karyawan serta semua tenaga kerja yang terlibat dalam industri kreatif dan bidang perfileman.
“Bantuan kerajaan bukan hanya terhad kepada menyediakan dana atau peruntukan bagi proses membangunkan industri perfileman negara tetapi turut meliputi aspek perundangan kepada mereka yang berdepan masalah kebankrapan,” katanya kepada pemberita selepas Simposium Seniman 2026 di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac.
Fahmi berkata beliau yakin kerjasama antara FINAS dan Jabatan Insolvensi yang dimeterai hari ini dapat membantu seniman, karyawan dan mereka yang berkecimpung dalam industri kreatif, yang berdepan kes kebankrapan untuk bangkit semula serta terus berkarya.
“Saya harap menerusi kerjasama ini, para seniman dan mereka yang terlibat berkecimpung dalam bidang ini akan mendapat manfaat.
“Saya menerima baik komitmen daripada Datuk Seri Azalina untuk menggerakkan Jabatan Bantuan Guaman membantu dari segi pengantaraan untuk membantu mereka yang terlibat dalam industri kreatif secara percuma sekiranya wujud pertelingkahan atau isu-isu kontrak bernilai bawah RM250,000,” katanya.
Beliau berkata selain itu, dana sebanyak RM300 juta diperuntukkan kerajaan menerusi FINAS di bawah Insentif Penggambaran Filem di Malaysia (FIMI) untuk tempoh lima tahun bagi menarik lebih banyak produksi antarabangsa melakukan proses penggambaran di negara ini.
Fahmi berkata inisiatif itu juga mampu meningkatkan peluang pekerjaan kepada penggiat seni tempatan sekali gus memastikan kelestarian terhadap industri kreatif negara.
Dalam pada itu, beliau berkata FINAS telah diminta meneliti aspek perundangan dan hak cipta bagi melindungi hak seniman serta penggiat filem dalam mendepani cabaran teknologi kecerdasan buatan (AI).
Fahmi berkata keupayaan AI menghasilkan video dengan suara dan pergerakan badan mirip pelaku sebenar adalah cabaran kepada artis atau seniman yang banyak bergantung kepada faktor seperti itu dalam berkarya.
“Untuk artis, memang wajah dan suara adalah aset paling utama... jadi, saya minta FINAS untuk teliti aspek tersebut untuk pastikan hak mereka terjaga dalam era AI ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial