KOTA BHARU, 9 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup hampir tiga tan minyak masak peket bersubsidi ke negara jiran dalam operasi bersepadu di Jalan Pintas (Bypass), Pasir Puteh, hari ini.
KPDN Kelantan dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi itu dilakukan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh dan Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor yang membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan serta merampas dua kenderaan.
Menurut kenyataan itu, semasa operasi, KPDN mengesan dua kenderaan jenis Proton Exora dan Naza Citra dalam keadaan mencurigakan yang dipercayai membawa muatan minyak bersubsidi untuk diseludup ke luar negara.
“Hasil pemeriksaan terdapat 2,805 kilogram minyak masak peket bersubsidi dengan nilai keseluruhan rampasan dianggar RM32,012.50 termasuk kenderaan,” menurut kenyataan itu.
KPDN memaklumkan minyak masak berkenaan dipercayai disimpan sementara di rumah transit sebelum dibawa ke sempadan untuk diseludup.
“Taktik licik sindiket yang menyembunyikan kotak minyak masak menggunakan kain hitam bagi mengaburi pihak berkuasa bagaimanapun berjaya dihidu dalam operasi yang dijalankan kira-kira 7.45 pagi,” menurut kenyataan itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menjejaki rangkaian sindiket serta mengenal pasti dalang utama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial