Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Program Komuniti Shopee Perkasa Wanita, Bantu Jana Pendapatan Melalui Platform E-dagang

10/04/2026 01:41 PM

GEORGE TOWN, 10 April (Bernama) -- Usaha memperkasa wanita dalam ekonomi digital terus diperkukuh menerusi kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Shopee menerusi program Shopee Rai Lokal Jelajah Komuniti, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada golongan itu menjana pendapatan serta menembusi pasaran global.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata inisiatif itu amat signifikan dalam meningkatkan keupayaan wanita menyesuaikan diri dengan teknologi, seterusnya memperluas penglibatan mereka dalam keusahawanan digital tanpa mengira lokasi dan latar belakang.

Beliau berkata dalam era ekonomi digital yang berkembang pesat, keupayaan menguasai teknologi bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan bagi memastikan wanita kekal berdaya saing.

Ad Banner
Ad Banner

“Platform e-dagang seperti Shopee telah membuka ruang yang luas kepada usahawan wanita untuk memasarkan produk mereka, bukan sahaja di peringkat tempatan, malah hingga ke pasaran global.

“Melalui inisiatif seperti Shopee Rai Lokal Jelajah Komuniti yang diperkenalkan pada 2025, Shopee telah membawa latihan kemahiran digital dan keusahawanan terus ke peringkat komuniti, termasuk di kawasan luar bandar,” katanya ketika merasmikan Program Wanita Go Digital Bersama Shopee: Dari Rumah ke Pasaran Global di Komtar, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Hal Ehwal Korporat Shopee Malaysia Nadia Anwar.

Lim berkata pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan literasi digital, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada wanita untuk terlibat secara aktif dalam ekonomi digital dengan lebih 50 peratus penjual di platform Shopee terdiri daripada perniagaan milik wanita, sekali gus mencerminkan potensi besar golongan itu dalam sektor e-dagang.

Beliau berkata usaha berkenaan turut selari dengan tema Hari Wanita Antarabangsa tahun ini iaitu “Memperkasa Wanita, Memperkukuh Negara”, yang menekankan kepentingan pemerkasaan ekonomi wanita sebagai asas pembangunan negara.

Beliau berkata KPWKM terus memperkukuh agenda itu melalui Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030, dengan tumpuan kepada aspek ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan wanita, termasuk pelaksanaan inisiatif seperti Program KIRANA, Wanita@IDEAS dan Program LAWA.

“Peranan Shopee sebagai rakan strategik dalam menyediakan platform, latihan dan akses pasaran membuktikan bahawa usaha ini memerlukan pendekatan menyeluruh dan kolaboratif, dan dengan sokongan berterusan lebih ramai wanita dijangka berani melangkah sebagai usahawan digital,” katanya.

Sementara itu, Nadia berkata Shopee Rai Lokal Jelajah Komuniti merupakan inisiatif komuniti Shopee yang dilaksanakan secara turun padang dan disesuaikan mengikut keperluan setempat, termasuk memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita dalam perniagaan digital seterusnya meningkatkan taraf hidup melalui e-dagang.

Katanya program itu menyediakan latihan kepada peserta di semua peringkat termasuk yang baru berjinak-jinak atau usahawan sedia ada, meliputi aspek penggunaan platform, teknik pemasaran serta pemanfaatan ciri seperti penstriman langsung dan video bagi meningkatkan jualan, di samping turut membuka peluang menjana pendapatan sampingan termasuk melalui penyertaan dalam program afiliasi.

Beliau berkata inisiatif itu terbuka kepada semua dan tidak terhad kepada kumpulan tertentu, dengan Shopee menyediakan latihan secara berterusan sama ada secara fizikal dan talian.

Terdahulu, program hari ini disertai kira-kira 150 wanita, selain turut diadakan penyampaian Anugerah Aspirasi Wanita Shopee 2026 kepada dua individu atas pencapaian cemerlang melalui penyertaan dalam platform e-dagang tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan