Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Permohonan UPUOnline Dilanjutkan Sehingga Isnin

11/04/2026 03:40 PM

SINTOK, 11 April (Bernama) -- Tarikh tutup permohonan UPUOnline bagi kemasukan akademik sesi 2026/2027 untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilanjutkan sehingga Isnin ini, jam 12 tengah hari.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata calon yang masih belum membuat permohonan boleh berbuat demikian dan dinasihatkan supaya tidak menunggu saat akhir.

Sebelum ini, tarikh tutup permohonan UPUOnline bagi lepasan SPM 2025 dijadualkan berakhir pada jam 5 petang esok.

Ad Banner
Ad Banner

“Menteri Pendidikan Tinggi bersetuju bahawa tarikh tutup permohonan UPUOnline bagi lepasan SPM yang dijadualkan pada esok, 12 April, jam 5 petang dilanjutkan kepada 13 April, iaitu Isnin, jam 12 tengah hari,” katanya ketika berucap pada Karnival Jom Masuk Universiti 2026 Zon Utara di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, hari ini.

Menurut Azlinda setakat ini jumlah permohonan yang diterima melalui UPUOnline bagi kategori lepasan SPM ialah seramai 238,524 calon, manakala bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf pula sebanyak 112,488 calon.

Katanya jumlah itu menjadikan keseluruhan permohonan diterima sebanyak 351,012 calon, dengan jumlah keseluruhan pembelian nombor PIN UPUOnline sebanyak 379,578.

“Angka ini jelas menunjukkan minat dan kepercayaan yang tinggi dalam kalangan generasi muda terhadap peluang melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

“Jadi, kepada semua calon lepasan SPM, jangan lepaskan peluang untuk membuat permohonan kemasukan ke institusi pendidikan tinggi,” katanya.

Azlinda turut mengingatkan semua calon supaya sentiasa peka dengan hebahan semasa dan membuat persediaan awal agar tidak terlepas peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan