Oleh Mohd Faiz Abdullah
KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Gencatan senjata terkini selama dua minggu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang dipersetujui pada petang 7 April, memberi ruang untuk menahan diri serta kelegaan yang besar.
Ketika penulisan ini, rundingan telah berlangsung selama 14 jam tanpa henti di peringkat tertinggi di Islamabad, dengan Dipertua Parlimen Iran Mohammad Bagher Ghalibar mengetuai delegasi negara itu, manakala Naib Presiden J D Vance mengetuai pihak AS.
Rundingan ini terus berlangsung walaupun peluru berpandu saling dilancarkan, susulan serangan berterusan Israel ke atas Lubnan serta serangan balas pantas Hezbollah. Ia ibarat kitaran keganasan berulang tanpa henti, namun seperti yang diingatkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada peserta Dialog Kuala Lumpur-Ankara baru-baru ini, memberi peluang kepada keamanan bukan sekadar retorik, malah keamanan juga tidak diperoleh dengan mudah: “Ia perlu dibina secara terancang dan penuh kesabaran, dengan keazaman, keberanian serta komitmen tidak berbelah bahagi terhadap keadilan dan maruah."
Jsuteru, usaha ke arah keamanan ini wajar diteliti. Gencatan senjata yang dicapai pada 7 April itu dilaporkan mengambil kira beberapa elemen daripada cadangan 10 perkara dikemukakan Iran, walaupun butirannya masih belum lengkap dan tidak dinyatakan secara rasmi. Namun, pengalaman lepas menuntut sikap berhati-hati. Gencatan senjata seperti ini dalam banyak keadaan bukanlah laluan kepada penyelesaian muktamad, sebaliknya sekadar jeda sementara dalam kitaran konflik lebih panjang.
Laporan yang tersedia kepada umum menunjukkan perjanjian ini bersifat rapuh. Terma penuh cadangan AS belum didedahkan, dan perbandingan antara pendirian kedua-dua pihak hanya bergantung kepada maklumat terhad serta taklimat diplomatik. Namun begitu, gambaran ringkas ini tetap memberikan petunjuk yang signifikan.
Di sebalik liputan meluas penganalisis penyiaran dan wartawan yang melaporkan setiap perkembangan secara terperinci, satu perbandingan yang disusun Council on Foreign Relations menonjolkan tahap perbezaan amat ketara. Iran dilaporkan bertegas menuntut kawalan kedaulatan ke atas Selat Hormuz, pemeliharaan program nuklearnya dalam beberapa bentuk, serta penghapusan sekatan. AS pula, sebaliknya, mendesak pembukaan semula selat itu, sekatan terhadap aktiviti nuklear Iran, had ke atas keupayaan ketenteraannya, serta penamatan sokongan terhadap proksi serantau.
Perbezaan ini bukan sekadar melibatkan urutan atau penekanan dasar, sebaliknya merupakan jurang besar yang dilihat mewujudkan halangan yang sukar diatasi ke arah penyelesaian rundingan.
Keadaan menjadi lebih rumit dengan perkembangan di peringkat serantau yang lebih luas. Seperti dinyatakan pada awal laporan, tindakan ketenteraan Israel di Lubnan terus berlanjutan, sekali gus memberi tekanan besar terhadap gencatan senjata tersebut. Khabar angin terkini turut menyebut kemungkinan rundingan gencatan senjata diadakan di AS, namun ia dikatakan ditolak secara tegas oleh pihak Israel.
Perkembangan ini hanya mengukuhkan persepsi mengenai keterbatasan atau keengganan Washington untuk mengekang operasi ketenteraan Israel secara bermakna, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap pengaruh serta niatnya. Secara keseluruhan, semua perkembangan ini menegaskan satu hakikat: konflik ini tidak boleh dibingkaikan secara sempit dalam kerangka dua hala semata-mata. Dinamiknya bersifat serantau dan usaha menstabilkannya bergantung kepada faktor melangkaui Washington dan Tehran sahaja.
Walaupun rundingan antara Iran dan AS dilaporkan berada pada landasan lebih baik, andaian yang lebih berhati-hati ialah konflik ini tidak akan berakhir dalam masa terdekat, sebaliknya gencatan senjata ini masih bersifat rapuh. Jika keadaan ini berterusan, tumpuan lebih penting bukan sahaja pada perjalanan konflik itu sendiri, tetapi juga pada kesannya yang semakin meluas dari sudut ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Selat Hormuz kekal sebagai satu daripada laluan strategik paling penting di dunia, dengan kira-kira 20 peratus minyak petroleum global melalui kawasan itu setiap hari. Risiko yang meningkat telah mewujudkan turun naik dalam pasaran global, dengan harga minyak bertindak balas bukan sahaja terhadap kebimbangan bekalan sebenar, tetapi juga jangkaan gangguan.
Selain minyak, sekitar satu perlima perdagangan gas asli cecair (LNG) global turut melalui selat berkenaan, sekali gus menghubungkan perkembangan di Teluk secara langsung kepada penjanaan elektrik dan pengeluaran industri di Asia dan rantau lain. Bagi ekonomi pengimport tenaga, khususnya di Asia, situasi ini membawa kepada kos input lebih tinggi serta tahap kerentanan lebih tinggi terhadap kejutan luaran.
Kesan ini tidak terhad kepada pasaran tenaga sahaja, sebaliknya merebak kepada tekanan inflasi dalam ekonomi lebih luas, khususnya melalui gangguan terhadap rantaian bekalan. Kenaikan kos bahan api memberi kesan langsung kepada sektor pengangkutan dan logistik, sekali gus meningkatkan kos pergerakan barangan merentas sempadan serta dalam pasaran domestik. Kos pengeluaran dan pembuatan juga meningkat, terutama dalam industri yang bergantung kepada tenaga secara intensif.
Konflik ini turut meningkatkan risiko ketidakjaminan makanan, khususnya bagi ekonomi yang bergantung kepada import, apabila kenaikan kos baja menyebabkan kos pengeluaran tanaman turut meningkat. Sistem penternakan juga terjejas, apabila kenaikan harga makanan ternakan meningkatkan kos pengeluaran daging dan ayam. Implikasinya jelas: tekanan kos yang berpunca daripada pasaran tenaga tidak kekal terasing, sebaliknya merebak secara berperingkat ke dalam sistem pertanian, penternakan dan makanan.
Bagi ekonomi membangun, dengan makanan dan bahan api membentuk sebahagian besar perbelanjaan isi rumah, kesannya lebih ketara. Apa yang kelihatan sebagai peningkatan kecil di peringkat global boleh menjejaskan kuasa beli isi rumah, dengan implikasi sosial dan fiskal yang lebih luas. Selain itu, bagi isi rumah berpendapatan rendah, keadaan ini juga boleh mengehadkan akses kepada sumber protein berasaskan daging, sekali gus memburukkan lagi kesan pemakanan akibat kenaikan harga makanan.
Kerajaan seterusnya mungkin berdepan tekanan untuk mengurangkan kesan tersebut, termasuk melalui subsidi atau langkah fiskal lain, walaupun banyak negara sudah berdepan ruang fiskal yang terhad. Apa yang bermula sebagai kejutan geopolitik akhirnya menjadi cabaran dasar domestik, yang memaksa pertimbangan sukar antara kelestarian dan perlindungan sosial.
Terdapat juga kesan struktur lebih mendalam. Pasaran buruh di beberapa bahagian Asia Barat sudah pun tertekan akibat ketidakstabilan dan perpindahan penduduk. Konflik yang berpanjangan boleh memburukkan lagi keadaan, mengurangkan pelaburan, mempercepat penghijrahan keluar, serta melambatkan proses pembinaan semula. Dalam jangan panjang, keadaan ini mengukuhkan kitaran iaitu kelemahan ekonomi dan ketidakamanan saling memperkuat satu sama lain.
Kesan kemanusiaan turut ketara, malah mungkin lebih besar. Konflik mengganggu akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan sumber pendapatan, selain mencetuskan perpindahan penduduk secara besar-besaran. Anggaran daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) menunjukkan jutaan penduduk telah kehilangan tempat tinggal akibat konflik yang sedang berlaku. Kesan jangka panjangnya ialah penghakisan modal insan yang berlarutan jauh melepasi tempoh konflik itu sendiri.
Dimensi psikologi juga tidak kurang pentingnya, apabila pendedahan kepada konflik, perpindahan dan ketidakamanan dikaitkan dengan peningkatan risiko keresahan, kemurungan serta gangguan tekanan pascatrauma. Tekanan alam sekitar turut meningkat, khususnya berkaitan kebimbangan iklim, apabila ketidakjaminan tenaga melambatkan peralihan kepada tenaga lebih bersih serta mengalihkan perhatian politik serta sumber kewangan daripada usaha mitigasi dan adaptasi perubahan iklim.
Secara keseluruhan, semua dinamik ini membawa kepada satu kesimpulan lebih luas: kos konflik ini tidak terhad kepada medan pertempuran, dan tidak hanya melibatkan pihak yang terlibat secara langsung. Ia bersifat menyeluruh, berlapis dan memberi kesan global.
Bagi negara perdagangan kecil seperti Malaysia dan ekonomi seumpamanya, situasi ini menimbulkan cabaran khusus. Walaupun berintegrasi rapat dalam sistem perdagangan dan tenaga global, ekonomi ini mempunyai pengaruh yang terhad terhadap hala tuju konflik melibatkan kuasa besar. Dalam erti kata lain, mereka menanggung kesan tanpa mempunyai keupayaan untuk membentuk puncanya.
Ketidakseimbangan ini menekankan kepentingan daya tahan. Ini bukan sekadar krisis situasi, tetapi satu keadaan yang membawa implikasi mendalam. Kepelbagaian sumber tenaga, pengukuhan rangka kerja keselamatan makanan, pemantapan ketahanan rantaian bekalan serta pemeliharaan disiplin fiskal bukan sahaja menjadi keutamaan ekonomi, tetapi juga tuntutan strategik.
Sehubungan dengan itu, Anwar yang memberi amaran bahawa konflik berpanjang akan memerlukan semakan menyeluruh terhadap unjuran pertumbuhan negara serta pelaksanaan projek utama, telah mengambil beberapa langkah peringkat tinggi bagi menangani krisis ini. Namun begitu, respons akhirnya tidak boleh bersifat ad hoc semata-mata, sebaliknya perlu dirangka secara strategik untuk jangka panjang.
Pada masa sama, peranan diplomasi tidak boleh diperkecil. Seruan untuk meredakan ketegangan bukan bersifat normatif, tetapi turut berpaksikan kepentingan ekonomi yang nyata. Semakin lama konflik berlarutan, semakin mendalam kesannya dan semakin sukar untuk dipulihkan.
Dalam konteks ini, pendirian diplomatik yang terlalu mutlak berisiko mengaburkan realiti proses penyelesaian konflik. Kenyataan bahawa seseorang tidak akan berunding dengan “pengganas” mungkin mempunyai nilai retorik, namun ia tidak semestinya membantu menyelesaikan konflik itu sendiri. Label tersebut juga sering dipertikaikan, dipengaruhi bukan sahaja oleh kriteria objektif tetapi juga oleh kecenderungan politik.
Bersikap mengangkat wacana moral dari sudut pandang yang kononnya tinggi juga mempunyai risiko tersendiri, dan wajar kita mengambil iktibar daripada peringatan agar tidak menjadi pihak yang pertama melemparkan tuduhan. Secara ringkasnya, hasil yang berkekalan jarang dapat dicapai tanpa sebarang bentuk penglibatan, walaupun dalam ruang terhad.
Ketika saya menulis baris akhir artikel ini, rundingan telah berehat seketika. Walaupun perkembangan semasa menunjukkan perbezaan asas masih ketara dan laluan ke arah penyelesian kekal kabur serta penuh ketidaktentuan, saya tetap berharap bahawa gencatan senjata terbaru ini akan terus bertahan, dan rundingan ini walaupun tidak sepenuhnya membuahkan hasil, masih mampu merapatkan jurang antara pihak yang terlibat.
“Memberi peluang kepada keamanan” bukan hanya slogan daripada antiperang terkemuka John Lennon, sebaliknya satu usaha kolektif dengan keyakinan bahawa “kita akan menyelesaikannya” dalam usaha menuju keamanan, kestabilan dan masa depan yang mampan.
-- BERNAMA
Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah ialah Pengerusi Eksekutif ISIS Malaysia
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial