Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Iktiraf Global Sumud Flotilla Sebagai Misi Nasional

12/04/2026 07:52 PM

BARCELONA, 12 April (Bernama) -- Malaysia menjadi negara pertama yang memberikan pengiktirafan rasmi kepada Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 sebagai misi nasional, sekali gus mencerminkan komitmen tegas negara dalam usaha menghentikan genosid di Gaza.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata misi itu kini membawa mandat negara serta mendapat sokongan padu daripada seluruh ahli Parlimen Malaysia.

“Malaysia berbangga menjadi negara pertama yang mengiktiraf misi ini sebagai misi nasional. Kehadiran kita di sini adalah untuk meneliti dan mengikuti pelaksanaannya dengan penuh komitmen,” katanya pada sidang media Sumud Nusantara di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau yang juga Menteri Penaung misi itu berkata penglibatan Malaysia melangkaui sempadan agama dan kaum, sebaliknya berteraskan prinsip sejagat kemanusiaan.

Amirudin turut menekankan situasi di Gaza yang semakin meruncing, dengan kira-kira 70,000 nyawa terkorban selain sekatan terhadap bekalan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan air bersih.

“Berdasarkan semangat kemanusiaan dan tanggungjawab bersama, penyertaan dalam Global Sumud Flotilla 2.0 dan Misi Sumud Nusantara adalah untuk menghantar mesej jelas bahawa genosid di Gaza mesti dihentikan,” katanya.

Beliau berkata pengiktirafan rasmi Malaysia itu melambangkan sokongan 34 juta rakyat negara ini kepada koalisi global yang menghimpunkan 3,000 peserta dari 100 negara serta melibatkan lebih 100 kapal.

GSF dijadualkan berlepas dari sini hari ini sebagai sebahagian usaha antarabangsa untuk memecah kepungan Israel ke atas Gaza serta menangani krisis kemanusiaan dan politik yang semakin kritikal.

Misi berkenaan melibatkan lebih 80 kapal dan 1,000 peserta dari seluruh dunia, menggabungkan tindakan maritim dengan mobilisasi global di darat, termasuk advokasi undang-undang dan kempen akar umbi di pelbagai negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan