Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPM Mula Siasatan Dalaman Insiden Pelajar Maut Dirempuh - Fadhlina

12/04/2026 10:05 PM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) telah memulakan proses siasatan dalaman kejadian kemalangan yang mengorbankan seorang pelajar perempuan tingkatan satu di hadapan surau perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata siasatan itu bagi meneliti pematuhan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan, selain kejadian juga sedang disiasat pihak berkuasa. 

“Mendapat perkhabaran duka pemergian anakanda Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin yang terlibat kemalangan pada petang ini.

Ad Banner

“Mewakili seluruh keluarga KPM, saya zahirkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga. Semoga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini. 

Fadhlina berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan sedang menguruskan bantuan terbaik kepada keluarga mangsa, dengan aspek kebajikan dan kesejahteraan pihak terlibat perlu diberi tumpuan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Azmir Damiri berkata seorang pelajar perempuan tingkatan satu maut manakala seorang lagi pelajar cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta di hadapan surau perempuan sekolah tersebut.

Beliau berkata kejadian pada 1.50 tengah hari dipercayai berlaku apabila pemandu wanita itu tersalah menekan pedal minyak menyebabkan kenderaannya terbabas dan melanggar dua pelajar yang sedang memakai kasut di hadapan surau itu serta tiang batu surau berkenaan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan