Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bekerja Dari Rumah Bukan Alasan Turun Tahap Produktiviti - KSU Kementerian Dalam Negeri

13/04/2026 02:50 PM

PUTRAJAYA, 13 April (Bernama) -- Pelaksanaan arahan bekerja dari rumah (BDR) yang akan dilaksana Rabu ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menurunkan tahap produktiviti, sebaliknya penjawat awam perlu kekal bertanggungjawab memastikan sasaran kerja dan petunjuk prestasi utama (KPI) tercapai.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Dr Awang Alik Jeman berkata BDR turut menuntut penjawat awam khususnya kakitangan kementerian memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas walaupun dilaksanakan secara fleksibel.

“KDN sendiri akan melaksanakan BDR bermula 15 April seperti mana yang disarankan pihak kerajaan. Bagaimanapun sekiranya perkhidmatan yang ada di bawah kita itu adalah perkhidmatan yang essential (penting), kena lihat semula kemungkinan ia kecualikan daripada BDR.

Ad Banner

“Saya juga ingatkan janganlah pula upload (muat naik) gambar ataupun posting (hantaran) di media sosial yang boleh disifatkan sebagai kita ponteng kerja. Jangan buat perkara yang memudaratkan diri sendiri. Tindakan tetap kita akan ambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Susulan krisis tenaga global dan sebagai sebahagian daripada usaha penjimatan kos, kerajaan bersetuju melaksanakan dasar BDR melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun serta GLC bermula 15 April ini.

Pelaksanaan BDR selama tiga hari seminggu bagi penjawat awam itu bertujuan memastikan penggunaan bahan api lebih cekap, di samping mengurangkan kos operasi kerajaan sebagai langkah proaktif menangani krisis tenaga global.

Bagaimanapun dasar ini hanya terpakai kepada penjawat awam di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan semua ibu negeri yang tinggal dalam jarak lebih lapan kilometer dari pejabat.

Dasar itu juga tidak termasuk kakitangan awam dalam sektor keselamatan dan pertahanan serta kesihatan dan pendidikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan