Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Mangsa Kedua Insiden Pelajar Dirempuh Kini Stabil

13/04/2026 03:14 PM

KOTA BHARU, 13 April (Bernama) -- Pelajar perempuan yang cedera parah dalam kejadian kemalangan di hadapan surau perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini semalam, kini dalam keadaan stabil.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata pelajar berkenaan, Zara Akhtar Zamzuri, 13, sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Beliau berkata berdasarkan penilaian awal mangsa mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala dan muka, namun kini berada dalam keadaan sedar dan stabil dengan bacaan tanda vital yang memuaskan.

Ad Banner

"Kes ini masih dalam siasatan pihak polis, jadi kami memohon semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian ini.

"Pihak kami akan terus memastikan pesakit menerima rawatan yang terbaik serta pemantauan rapi hingga pulih sepenuhnya tanpa sebarang komplikasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pada 1.50 tengah hari itu, seorang pelajar, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi pelajar perempuan cedera parah selepas dipercayai dirempuh kereta dipandu guru wanita.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Azmir Damiri berkata siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan dipercayai tersalah menekan pedal minyak sebelum terbabas merempuh mangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan