NILAI, 13 April (Bernama) -- Sebanyak 226 graduan Program Eksekutif Pembimbing Ibadat Haji (EPIH) 2026 diraikan pada majlis graduasi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.
Program anjuran USIM dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji (TH) itu bertujuan melahirkan pembimbing ibadat haji dan umrah yang profesional, berkemahiran tinggi serta berintegriti dalam memastikan kesejahteraan jemaah sepanjang pelaksanaan ibadah.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata kerjasama strategik itu penting dalam memperkukuh ekosistem bimbingan ibadat haji negara.
“Program EPIH ini sebahagian daripada inisiatif TH untuk memperkasakan profesion mutawwif di peringkat nasional bukan hanya bagi pembimbing haji tetapi termasuk mutawwif umrah.
“TH sedang menilai keperluan meningkatkan piawaian akreditasi, memperluas latihan lanjutan serta memperkukuhkan modul pembelajaran berasaskan kompetensi bagi menjamin mutu bimbingan ibadat haji dan umrah yang lebih menyeluruh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani berkata EPIH mencerminkan komitmen USIM dalam pembangunan modal insan yang seimbang dari sudut akademik dan nilai.
Beliau berkata program itu melahirkan pembimbing yang bukan sahaja memahami aspek ibadah tetapi mampu membimbing jemaah dengan hikmah, empati dan profesionalisme.
Program yang berlangsung dari Januari hingga Mac itu adalah kesinambungan kepada Program Sijil Pengurusan Ibadat Haji yang diperkenalkan sejak 2010 dengan penambahbaikan kandungan dan pendekatan pembelajaran.
Graduan terbaik Nur Hidayah Noordin, 37, berkata penyertaannya dalam program itu membantu meningkatkan kefahaman dan keyakinan dalam membimbing jemaah selepas pengalaman menunaikan umrah sebelum ini.
“Saya yakin program ini bukan sekadar memberi pendedahan teori tetapi membentuk kefahaman mendalam terhadap tanggungjawab sebagai pembimbing ibadat haji yang mampu memastikan jemaah melaksanakan ibadah dengan tenang dan yakin,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial