Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

J&T Express Malaysia Himpun 5,000 Pelari Pada Acara Larian IJM Rimbayu

13/04/2026 08:21 PM

SHAH ALAM, 13 April (Bernama) -- Sebanyak 5,000 peserta menyertai larian “Run with Me 2026” anjuran bersama J&T Express Malaysia dan IJM Rimbayu yang bertujuan mempromosikan kesihatan dan kecergasan di The Arc, Rimbayu pada Sabtu lepas.

J&T Express Malaysia dalam kenyataan memaklumkan acara itu menampilkan cabaran simbolik penghantaran jarak terakhir, apabila peserta membawa bungkusan J&T sambil berlari ke garisan penamat untuk mencerminkan usaha, dedikasi serta kepuasan penghantar barang di sebalik setiap bungkusan yang berjaya dihantar.

Pengurus Perhubungan Awam dan Penjenamaan J&T Express Malaysia Steve Yap berkata inisiatif itu membantu orang ramai memahami dengan lebih baik perjalanan logistik di sebalik setiap penghantaran.

Ad Banner

“Logistik adalah sebahagian daripada kehidupan seharian, namun ramai orang hanya melihatnya pada peringkat penghantaran. Melalui larian santai ini, kami menjemput komuniti untuk merasai dedikasi di sebalik setiap bungkusan, sambil memberikan gambaran tentang pusat pengisihan dipacu teknologi kami pada masa hadapan.

“Selepas memulangkan bungkusan, peserta dijemput untuk menyertai pelbagai aktiviti di reruai, termasuk sesi cabutan bertuah eksklusif yang menawarkan hadiah bernilai keseluruhan RM60,000. Kami berharap inisiatif ini memupuk interaksi komuniti dan menunjukkan bagaimana inovasi dalam logistik dapat mendekatkan masyarakat,” katanya pada acara itu.

Kenyataan itu memaklumkan penyertaan J&T Express Malaysia dalam IJM Rimbayu ‘Run With Me 2026’ memperlihatkan bagaimana jenama itu melangkaui penghantaran untuk mewujudkan hubungan bermakna serta memacu masa depan logistik di Malaysia.

Acara itu turut menonjolkan pusat pengisihan bungkusan terbesar mereka di Malaysia, J&T EXPRESS @ THE HUB yang akan siap pada suku ketiga 2027, terletak berhampiran lokasi acara.

Dibangunkan di atas tapak milik penuh seluas 30 ekar dengan pelaburan melebihi RM300 juta, kemudahan itu akan memulakan pembinaan secara rasmi pada 15 April 2026, menandakan pencapaian penting dalam peluasan infrastruktur J&T Express Malaysia serta pembangunan tenaga kerja tempatan.

Apabila siap kelak, kemudahan itu dijangka mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan.

“Direka secara strategik untuk memenuhi pertumbuhan yang dijangka dalam industri kurier, pusat pengisihan itu akan memperkukuh keupayaan pemprosesan dan meningkatkan kecekapan operasi, sekali gus memastikan pengalaman penghantaran yang lebih lancar dan boleh dipercayai untuk pelanggan, penjual dalam talian dan perniagaan tempatan,” menurut kenyataan itu.. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan