Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Krisis Tenaga Global : Hubungan Strategik Bantu Malaysia Tangani Isu Bekalan - MKN

14/04/2026 12:14 AM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Kedudukan strategik Malaysia dalam rantaian pembuatan global serta hubungan diplomatik yang kukuh dengan pemain industri antarabangsa membolehkan negara ini menangani kesan krisis tenaga global dengan lebih berkesan.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin berkata kelebihan itu memberi ruang dan peluang kepada Malaysia untuk mendapatkan sumber bahan api alternatif sekiranya keadaan mendesak.

Beliau berkata, sebagai contoh, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang mempunyai operasi di seluruh dunia boleh memanfaatkan rangkaian serta hubungan erat dengan pemain industri global bagi tujuan berkenaan.

Ad Banner

“Kita terletak di kedudukan strategik dalam rantaian pembuatan dunia, jadi kita mempunyai hubungan dengan pemain-pemain penting. Petronas pula mempunyai operasi di seluruh dunia dan mereka boleh menggunakan hubungan tersebut untuk mendapatkan sumber bahan api,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Mendepani Krisis Tenaga Global: Kesiapsiagaan dan Ketahanan Negara’, malam ini.

Sementara itu, Raja Nurshirwan berkata jalinan hubungan diplomatik dua hala yang kukuh dengan negara luar turut membantu Malaysia dalam meredakan kesan gangguan rantaian bekalan global akibat krisis berkenaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa lawatan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese ke Malaysia yang dijadualkan Rabu ini antara lain akan membincangkan agenda berkaitan bekalan bahan api antara kedua-dua negara.

“Jadi kita mempunyai hubungan sebegini yang membolehkan kita menangani keadaan ini dengan lebih baik berbanding kebanyakan negara di dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan