Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Krisis Tenaga Global: Pergerakan Pengangkutan Laut, Darat Masih Stabil - Akmal Nasrullah

14/04/2026 07:39 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Pergerakan pengangkutan laut dan darat masih stabil, khususnya bagi pengendalian kargo dan pergerakan penumpang pengangkutan awam, meskipun negara kini berdepan dengan krisis tenaga global, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Bagaimanapun, katanya, sektor penerbangan dan pelancongan sudah mula menunjukkan tanda tekanan.

“Sebanyak 55 penerbangan mingguan melibatkan enam syarikat penerbangan telah dibatalkan bagi tempoh 23 hingga 28 Mac dengan ketibaan pelancong bagi tempoh 1 hingga 25 Mac menunjukkan penurunan susulan krisis tenaga itu. 

Ad Banner

“Perkembangan ini turut disertai dengan unjuran penyusutan penumpang penerbangan dari Asia Barat sebanyak 1.5 juta orang bagi 2026,” katanya pada taklimat krisis tenaga global yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan, hari ini.

Akmal Nasrullah berkata konflik di Asia Barat telah menyebabkan gangguan besar kepada aliran tenaga dunia sehingga Malaysia turut sama menerima tempias krisis tenaga global.

Walaupun pada 8 April terdapat persetujuan gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk tempoh dua minggu, namun belum ada tanda menunjukkan konflik akan berakhir, katanya.

“Pada 13 April, rundingan damai gagal menghasilkan penyelesaian yang tuntas, dan Amerika Syarikat mengumumkan sekatan maritim ke atas pelabuhan Iran.

“Sekatan itu secara teknikal menyasarkan trafik ke pelabuhan Iran, tetapi ia tetap menambah ketidakpastian dan mengehadkan aliran kapal di Selat Hormuz,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata apabila laluan tenaga utama dunia masih dibayangi risiko keselamatan, premium insurans, kos freight (pengangkutan) harga produk petroleum akan kekal tinggi bagi tempoh yang lebih lama daripada pergerakan harga spot semata-mata.

 “Kos pengangkutan meningkat hampir dua kali ganda, manakala premium insurans meningkat sehingga 16 kali ganda bagi satu perjalanan. Ini penting kerana apabila kos logistik naik, kesannya merebak kepada harga akhir diesel, petrol, input pengeluaran dan akhirnya kos sara hidup,” katanya. 

Beliau berkata bagi pasaran buruh, impak yang lebih nyata dijangka muncul pada separuh kedua 2026 bermula Jun sekiranya konflik tersebut terus berlarutan. 

“Ini menunjukkan bahawa krisis ini mempunyai lag effect (impak lewat). Hari ini kita nampak tekanan kos, beberapa minggu atau bulan kemudian baru kita nampak tekanan terhadap pekerjaan dan pendapatan.

“Maka dengan itu, kerajaan melalui MTEN (Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara) sedang meneliti mitigasi sesuai untuk mengurangkan keresahan rakyat dalam isu ini,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan