Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Mayat Mendiang San Markan Disempurnakan Di Pusat Krematorium Batu Lanchang

14/04/2026 09:10 PM

GEORGE TOWN, 14 April (Bernama) -- Mayat mendiang peguam berpengalaman Datuk San Markan Ganapathi, 88, yang maut selepas terperangkap dalam kebakaran di pejabatnya di Lebuh King, semalam, disempurnakan di pusat krematorium Tanah Perkuburan Hindu Batu Lanchang, di sini, hari ini

Suasana pilu menyelubungi upacara keagamaan yang dihadiri anaknya Dr Ananda Raj San Markan bersama lebih 100 ahli keluarga serta sahabat handai.

Terdahulu jasad San Markan dibawa pulang ke rumahnya di Gelugor, di sini, selepas selesai bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang dan lebih 200 orang hadir memberi penghormatan terakhir ke atas mendiang selama dua jam bermula 4 petang.

Ad Banner

M.Muthy, 68, anak saudara mendiang berkata mereka kehilangan seorang bapa saudara yang penyayang dan juga tidak lokek membantu orang ramai termasuk anak guamnya sepanjang lebih 40 tahun menjadi peguam. 

Beliau yang merupakan pesara kerajaan berkata San Markan memulakan kerjayanya sebagai seorang guru sebelum menyambung pelajaran di England ketika berusia 30-an untuk menjadi seorang peguam.

"Mendiang memang mahu menjadi peguam kerana suka membantu orang dan sebab itu pak cik ambil keputusan menyambung pelajaran dalam (jurusan) undang-undang di England walaupun ketika itu dia sudah bekerja sebagai guru.

"Sepanjang menjadi peguam, mendiang banyak membantu orang ramai dan memang dikenali sebagai seorang yang peramah. Kami semua sangat sedih dan sudah pasti akan merinduinya kerana pak cik sering datang ke rumah saya terutama ketika sambutan Deepavali bagi menjamu selera," katanya ketika di temui di rumah mendiang, hari ini.

Selain San Markan, seorang kerani wanita B. J. Chandra, 60, turut maut dalam kejadian yang berlaku kira-kira 12.14 tengah hari itu.

San Markan ditemukan pasukan operasi bomba pada 1.05 tengah hari dalam keadaan duduk di atas kerusi berhampiran dengan tingkap pejabat di tingkat dua bangunan berkenaan, manakala Chandra dijumpai berhampiran dinding di bawah timbunan fail pada 3.26 petang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan