Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Anwar, Albanese Adakan Pertemuan Empat Mata, Pertingkat Hubungan Malaysia-Australia

16/04/2026 12:45 PM

PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari Australia Anthony Albanese, dengan menumpukan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala serta menangani cabaran keselamatan tenaga yang semakin meningkat pada ketika ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat.

Pertemuan itu diadakan sejurus selepas Albanese diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, bersempena lawatan rasmi tiga harinya ke Malaysia dari 15 hingga 17 April.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan konflik di Asia Barat serta kesan limpahannya terhadap pasaran tenaga global, khususnya potensi gangguan kepada rantaian bekalan tenaga dan laluan perdagangan antarabangsa yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi serantau.

Ad Banner

Mereka juga dijangka bertukar pandangan mengenai pengukuhan kerjasama dalam keselamatan tenaga, termasuk memastikan kestabilan bekalan, memperkukuh daya tahan infrastruktur serta meneroka peluang dalam tenaga boleh diperbaharui dan teknologi bersih.

Pertemuan empat mata itu akan disusuli dengan mesyuarat dua hala, melibatkan menteri kanan dan pegawai dari kedua-dua negara, bagi menilai kemajuan di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Australia (CSP) yang diwujudkan pada tahun 2021.

Australia kekal sebagai rakan ekonomi penting bagi Malaysia, menduduki tempat ke-12 sebagai rakan dagang terbesar pada tahun 2025, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM78.63 bilion (US$18.38 bilion). Daripada jumlah itu, eksport Malaysia mencatat RM48.64 bilion (US$11.37 bilion), manakala import berjumlah RM29.99 bilion (US$7 bilion).

Selain perdagangan, hubungan ini turut disokong oleh saling kebergantungan yang kukuh dalam sektor tenaga.

Berdasarkan data bilateral 2025, Australia membekalkan kira-kira 96 peratus daripada import gas asli cecair (LNG) Malaysia, yang merupakan komponen penting dalam menyokong rangkaian gas di Semenanjung Malaysia serta memajukan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Pada masa yang sama, Malaysia merupakan pembekal utama bahan api kepada Australia, menyumbang kira-kira 17 peratus daripada jumlah import bahan api negara itu. Aliran ini mencerminkan rangkaian bekalan komersial yang telah lama wujud antara kedua-dua negara, bukan sekadar pengaturan ad hoc.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan