Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pakej 1 PTJSD Siap Lebih Awal - Chow

16/04/2026 12:20 PM

GEORGE TOWN, 16 April (Bernama) -- Pakej 1 Projek Penyuraian Trafik Plaza Tol Juru-Sungai Dua (PTJSD) dekat sini, dijangka siap lebih awal dan beroperasi pada penghujung 2027, selaras dengan tempoh pembinaan selama 24 bulan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ia berdasarkan maklumat dikongsikan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PTJSD kini telah memasuki fasa pelaksanaan di tapak menerusi kerja-kerja fizikal bagi Pakej 1 yang bermula sejak Oktober tahun lepas.

"Pelaksanaan PTJSD akan diteruskan secara berfasa melibatkan Pakej 2 sehingga Pakej 5 bagi melengkapkan keseluruhan jajaran dari Plaza Tol Juru ke Sungai Dua.

Ad Banner

"Kesemua pakej itu dijangka memulakan kerja fizikal pada suku ketiga tahun ini tertakluk kepada perincian skop teknikal yang sedang dimuktamadkan dan secara keseluruhan, projek tersebut disasarkan siap sepenuhnya pada penghujung 2030," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi memastikan kelancaran pelaksanaan PTJSD, kerajaan negeri mengambil pendekatan proaktif dengan mengadakan rundingan berterusan bersama semua agensi berkaitan serta Pihak Berkuasa Tempatan dan langkah itu penting bagi menangani sebarang isu berbangkit secara menyeluruh sepanjang tempoh pelaksanaan.

Chow berkata kerajaan negeri juga akan terus memantau perkembangan projek itu secara rapi dan komited memastikan setiap fasa pelaksanaan berjalan lancar mengikut perancangan.

Beliau berkata PTJSD diyakini mampu memberi impak signifikan dalam mengurangkan kesesakan trafik, meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya dan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri dan memperkukuh daya saing Pulau Pinang sebagai hab pelaburan strategik negara.

"Secara keseluruhan, PTJSD merupakan inisiatif strategik bagi menangani isu kesesakan lalu lintas yang sekian lama membelenggu jajaran Lebuhraya Utara-Selatan di negeri ini. Laluan tersebut kini merekodkan purata aliran trafik melebihi 200,000 kenderaan sehari dan berfungsi sebagai koridor utama menghubungkan aliran trafik dari utara dan selatan Semenanjung.

"Kesesakan di jajaran ini turut memberi kesan langsung kepada kawasan sekitar seperti Permatang Pauh, Bukit Mertajam dan Perai, sekali gus menjejaskan kelancaran pergerakan harian serta aktiviti ekonomi setempat," katanya.

Beliau berkata sejak April 2024, pelbagai kajian termasuk analisis trafik dilaksanakan bagi memastikan penyelesaian dirangka adalah komprehensif dan mampan serta melalui pelaksanaan Makmal Kajian Nilai, skop keseluruhan projek kini berada pada peringkat rundingan akhir bagi memastikan kos dimuktamadkan adalah optimum serta memenuhi keperluan semua pihak secara menyeluruh.

Projek sepanjang 17.3 kilometer, merentasi tiga daerah utama iaitu Seberang Perai Selatan, Tengah dan Utara akan memberi manfaat kepada 200,000 pengguna harian jajaran berkenaan.

Projek tersebut yang dianggarkan melibatkan kos RM3 bilion dijangka mengurangkan kesesakan trafik dengan 30 peratus akan beralih ke laluan terus baharu Juru-Sungai Dua yang disediakan sekali gus akan menjimatkan masa perjalanan semasa dari satu jam kepada hanya 20 minit pada waktu puncak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan