Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ASEAN Records Iktiraf BYON Pada Forum & Ekspo STRA 2026

16/04/2026 08:52 PM

PETALING JAYA, 16 April (Bernama) -- ASEAN Records hari ini mengiktiraf Kumpulan BYON sebagai Syarikat Pengurusan Hartanah Penginapan Jangka Pendek Rentas Sempadan Pertama dan Terbesar di Forum & Ekspo Penginapan Sewa Jangka Pendek (STRA) 2026.

Pengiktirafan itu disampaikan oleh Ketua Juri ASEAN Records Gillian Ooi kepada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas BYON Mavis Yap pada majlis yang berlangsung di Hextar World, Empire City di sini.

Pengiktirafan itu adalah satu pencapaian penting dalam pertumbuhan Kumpulan BYON di Malaysia dan Asia Tenggara sekali gus mencerminkan pengembangan jejak serantaunya dalam segmen pengurusan hartanah penginapan jangka pendek.

Ad Banner

Bercakap kepada Bernama selepas menerima pengiktirafan itu, Yap berkata ia mencerminkan komitmen berterusan syarikat terhadap kecemerlangan operasi, pengalaman tetamu dan kepimpinan industri di seluruh rantau.

“Syarikat ini secara konsisten mencapai kadar penginapan antara 80 hingga 90 peratus bagi hartanah utama, disokong oleh skor kepuasan tetamu yang tinggi serta pelbagai pengiktirafan daripada platform pelancongan dalam talian global termasuk Agoda, Booking.com dan C-Trip.

“BYON secara aktif menjana permintaan melalui kerjasama strategik bersama dengan Tokoh Berpengaruh (KOL) dan Pengguna Berpengaruh (KOC), sokongan selebriti serta kempen seperti #OurBYONYear yang direka untuk menggalakkan tempahan terus melalui platform rasminya, byongroup.com,” katanya.

Yap berkata pencapaian ASEAN Records itu akan menyumbang kepada pertumbuhan pelancongan rentas sempadan di Malaysia dan Asia Tenggara.

Beliau berkata selain itu, syarikat memperkukuh kerjasama dengan rakan perjalanan antarabangsa, agensi dan jenama bagi memperluas capaian serta kebolehcapaian selain merangsang lebih banyak peluang pelancongan ke dan dalam Malaysia.

Yap berkata pencapaian itu turut mencerminkan pertumbuhan dan pengiktirafan industri STRA yang semakin stabil, berkembang pesat dan kian mendapat perhatian sambil menawarkan keselesaan seperti di rumah dengan pengalaman seperti hotel untuk pelancong moden.

Beliau juga berkata tetamu di bawah kempen #OurBYONYear boleh menikmati manfaat eksklusif termasuk diskaun khas dan berpeluang memenangi ganjaran bernilai lebih RM50,000 merangkumi tiket penerbangan antarabangsa hinggalah penginapan percuma di pelbagai hartanah BYON.

Dahulunya dikenali sebagai The Flash Group, BYON ditubuhkan pada 2018 dan berkembang menjadi kumpulan pengurusan hospitaliti serta hartanah penginapan jangka pendek yang meraih pelbagai anugerah, beroperasi di Malaysia serta beberapa pasaran antarabangsa terpilih.

Kumpulan itu kini mengurus lebih 1,000 unit dan 1,200 bilik di 22 bangunan merangkumi 10 negeri di Malaysia serta luar negara, dengan disokong oleh lebih 100 pekerja.

Forum & Ekspo STRA 2026, yang berlangsung dari 16 hingga 17 April ini, adalah acara khusus untuk ekosistem STRA menghimpunkan pengendali, hos, ejen hartanah, pemaju, penyedia penyelesaian serta pihak berkepentingan lain bagi sesi forum, pameran dan jaringan perniagaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan