PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Program Inisiatif Pendapatan Rakyat-Usahawan Tani (IPR-INTAN) di bawah Kementerian Ekonomi telah menjana hasil terkumpul kira-kira RM22 juta sejak mula dilaksanakan pada 2023, kata menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata pencapaian itu hasil penyertaan lebih 2,300 peserta di bawah program berkenaan, termasuk yang mengusahakan tanaman seperti cili dan timun.
“Satu daripada segmen dikenali INTAN, iaitu tertumpu kepada pertanian yang setakat ini secara keseluruhannya telah melahirkan kira-kira 2,300 peserta, dengan hasil secara terkumpul mencecah RM22 juta,” katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat-Usahawan Tani (IPR-INTAN), di sini hari ini.
Program IPR-INTAN bukan sahaja membolehkan golongan sasar memperoleh pendapatan tambahan, malah membantu usaha kerajaan bagi memastikan jaminan bekalan makanan asas negara kekal stabil dan tidak berdepan gangguan bekalan, susulan krisis tenaga global yang sedang dihadapi.
Di Putrajaya, beliau berkata projek IPR-INTAN yang melibatkan tanaman cili secara fertigasi di kawasan seluas 4.04 hektar telah memberikan manfaat kepada 20 peserta, dengan purata pendapatan bulanan kira-kira RM3,000.
“Projek yang kini memasuki pusingan kelima telah menghasilkan lebih 200 tan cili, bernilai kira-kira RM1.5 juta. Maksudnya, modal pusingan itu pun boleh diambil daripada hasil yang dikeluarkan.
“Program IPR Intan ini membuktikan ia membantu kumpulan sasaran, termasuk di bawah agenda untuk menambah pendapatan rakyat selain membasmi kemiskinan,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata bagi tahun ini, pihaknya telah bersetuju bagi pelaksanaan 20 projek IPR-INTAN baharu yang akan memberikan manfaat kepada 600 peserta daripada golongan B40, miskin dan miskin tegar, termasuk peluasan projek IPR-INTAN Putrajaya, yang membolehkan tambahan 20 lagi peserta menjadikan keseluruhan 40 peserta.
Projek IPR-INTAN Putrajaya yang dilaksanakan di atas tanah milik Perbadanan Putrajaya (PPj) dikendalikan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPKKL).
Projek itu turut mendapat sokongan Nestlé Malaysia yang membeli sebahagian besar keluaran ladang untuk produk syarikat mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial