Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Krisis Asia Barat: KPT Sedia Tempatkan Pelajar Malaysia Terjejas Di IPT Tempatan

17/04/2026 02:59 PM

JASIN, 17 April (Bernama) -- Kerajaan bersikap terbuka dan bersedia menempatkan pelajar Malaysia yang berdepan situasi terkandas atau terjejas pengajian di negara terlibat dalam krisis Asia Barat ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara sekiranya keadaan memerlukan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata perkara itu antara langkah kesiapsiagaan kementerian dan jaminan memastikan pengajian pelajar tidak terjejas termasuk mereka yang baru mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke negara terbabit.

“Sekiranya berlaku maka ruang akan diberikan kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran di sini (IPT dalam Malaysia), yang bersesuaian dengan keputusan, kursus dan latar belakang pendidikan mereka kerana persefahaman di peringkat universiti itu ada.

Ad Banner

"Biasanya kita akan bincangkan kursus yang boleh dipindahkan kredit berdasarkan garis panduan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) supaya pelajar dapat meneruskan pengajian tanpa perlu mengulang sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Townhall Kembara Karisma Pemimpin Muda MADANI Zon Selatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jasin di sini hari ini.

Beliau berkata langkah membawa pulang pelajar dan menempatkan mereka di universiti tempatan bukan perkara baharu, sebaliknya pernah dilaksanakan termasuk ketika konflik Iran–Iraq serta melibatkan pelajar Malaysia di Kuwait.

"Setakat ini belum ada angka rasmi pelajar yang terkesan (akibat krisis di Asia Barat) kerana universiti di negara terbabit masih berfungsi seperti biasa malah jumlahnya agak kecil berbanding pelajar di negara lain seperti di Jordan atau Mesir.

Ad Banner

"Pun begitu kementerian akan bersiap sedia dan menunggu maklum balas daripada pelajar dan institusi pengajian sebelum sebarang tindakan lanjut diambil," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan