Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kementerian Perpaduan Negara Lancar Inisiatif Muzium Digital

17/04/2026 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melancarkan muzium digital menggunakan teknologi Realiti Terimbuh (AR) dan Realiti Maya (VR) bersempena dengan Program Pendigitalan Koleksi dan Pameran Maya Muzium Alam Semula Jadi, di sini hari ini.

Ketua Setiausaha KPN Datuk Haslina Abdul Hamid berkata inisiatif di bawah Jabatan Muzium Malaysia (JMM) itu merupakan langkah progresif mentransformasikan institusi muzium dalam mendepani era digital dan membolehkan pengunjung menelusuri koleksi secara 360 darjah.

“Setakat ini, JMM berjaya mendigitalkan 255 koleksi merangkumi pelbagai artifak berharga dan spesimen flora serta fauna. Daripada 255 koleksi itu, sebanyak 135 unit merupakan koleksi etnologi yang mewakili kepelbagaian kaum dan etnik di Malaysia, manakala 120 lagi ialah spesimen flora dan fauna.

Ad Banner

“Antara artifak ikonik yang telah didigitalkan termasuklah bendera pertama Persekutuan Tanah Melayu, Piala HMS Malaya, Cupak Sirih Sultan Abdul Samad, serta koleksi numismatik seperti duit emas era Sultan Zainal Abidin II,” katanya kepada media di sini hari ini.

Haslina berkata bagi spesimen alam semula jadi, sebanyak 32 mamalia, 35 burung, 20 serangga, 14 herpetofauna (berdarah sejuk), enam marin dan 13 botani dihasilkan melalui imbasan 3D.

Sementara itu, Ketua Pengarah JMM Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata program transformasi itu melibatkan peruntukan yang besar. 

Ad Banner

“Komitmen ini diterjemahkan melalui pelaksanaan beberapa inisiatif pendigitalan berskala besar dengan nilai keseluruhan sekitar RM5 juta pada 2025, merangkumi pembangunan ekosistem digital secara menyeluruh di bawah Jabatan ini," katanya.

KPN menyasarkan 7,000 hingga 10,000 pengunjung akan melayari pameran maya tersebut, namun optimis jumlah itu akan meningkat kerana akses digital yang lebih terbuka dan inklusif kepada semua lapisan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan