KOTA BHARU, 18 April (Bernama) -- Malaysia tetap teguh dengan pendirian bebas dan merdeka untuk menyatakan kebenaran di peringkat antarabangsa meskipun ia sukar diterima oleh beberapa negara serta kuasa besar dunia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sikap berani itu diterjemahkan melalui pendirian Malaysia berhubung konflik di Asia Barat khususnya membabitkan serangan Israel ke atas Iran yang turut mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS).
"Dalam perbincangan saya dengan Presiden Iran (Masoud Pezeshkian), beliau menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Parlimen Malaysia kerana mengutuk serangan Israel dan AS serta memberi sokongan yang padu bagi menjamin hak kebebasan di Iran.
"Kita mengucapkan takziah kerana syahid beberapa pimpinan utama agama dan juga tentera Iran bersama dengan anak-anak sekolah. Cuba bayangkan kalau ini berlaku di barat, akan riuh rendah satu dunia berminggu-minggu, berbulan mengutuk serangan.
"… tetapi apabila menimpa negara Islam, banyak yang membisu. Saya berasa sangat terkesan apabila anak-anak sekolah terkorban, hampir tidak ada negara yang mengeluarkan kenyataan menyatakan simpati kepada anak-anak dan keluarga mereka atau mengutuk serangan Israel dan AS ini," kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengenai usaha perundingan damai bagi menamatkan kemelut akibat serangan ganas Israel dengan dukungan AS ke atas Iran, Anwar berkata Malaysia memberikan sokongan padu melalui jalinan kerjasama erat dengan Pakistan, negara-negara Teluk dan Turkiye.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa sebarang perundingan tidak boleh meminggirkan keadilan dengan sekadar menuntut Iran menyerah, sebaliknya perlu mengambil kira punca ketegangan iaitu tindakan biadab rejim Zionis.
Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan rasa syukur atas solidariti utuh merentas parti politik di negara ini dalam mengutuk kezaliman yang berlaku sehingga mendapat penghargaan langsung daripada Presiden Iran.
Perdana Menteri turut mengingatkan rakyat supaya sentiasa mengikuti perkembangan krisis tenaga global ekoran konflik di Asia Barat kerana kemelut itu dijangka tidak akan selesai dalam tempoh singkat.
Beliau berkata meskipun perdamaian dicapai, kesan ekonomi berkaitan tidak akan pulih dalam tempoh beberapa bulan sahaja.
“Sepertimana disebut oleh Emir Qatar, kilang gas, syarikat gas di Qatar, yang rosak dan musnah, mengambil masa untuk pulih.
"Kalau boleh mula sedikit operasi akhir tahun, tapi ia mengambil masa sekurang-kurangnya satu tahun untuk operasi minimum, tiga tahun untuk operasi maksimum," kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial