Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Permohonan Kuota 300 Liter BUDI95 Untuk Media Sedia Dibawa Ke Mesyuarat MTEN - Fahmi

18/04/2026 01:45 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bersedia mengemukakan cadangan persatuan media mengenai pemberian pengecualian khas kuota petrol RON95 kepada pengamal media berdaftar ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Selasa depan.

Beliau berkata cadangan berkenaan melibatkan permohonan agar pengamal media terus menerima kuota 300 liter sebulan di bawah program Budi MADANI RON95 (BUDI95), berbanding penyelarasan sementara 200 liter buat masa ini. 

"Saya ambil maklum tentang perkara tersebut. Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat MTEN pada Selasa depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Penyakit “Tiga Serangkai” jadi fokus Kempen Kesihatan Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Ad Banner

Semalam, Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) memohon kerajaan memberikan pengecualian khas kepada pengamal media untuk terus menerima kuota 300 liter petrol RON95 sepertimana dinikmati sebelum ini.

GKMM memaklumkan langkah penyelarasan sementara BUDI95 kepada 200 liter sebulan memberi cabaran besar buat pengamal media yang terdiri daripada wartawan, jurugambar serta juruvideo dalam menyempurnakan tugasan di lapangan.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata bermula Rabu depan, sidang media mingguan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri akan dilaksanakan secara hibrid bagi memudahkan pengamal media mengikuti perkembangan semasa secara dalam talian.

Ad Banner

"Saya mengambil inisiatif melaksanakan sidang media secara hibrid bagi sidang media mingguan.

"Hal ini bagi membolehkan wartawan sama ada yang bertugas di Putrajaya boleh hadir secara fizikal dan mungkin yang bertugas di Kuala Lumpur boleh mengikuti (sidang media) secara hibrid dan bertanya soalan secara dalam talian," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan