Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

RM7.16 Juta Bantuan MADANI Perkasa Pendidikan Di Parlimen Tambun

18/04/2026 07:19 PM

IPOH, 18 April (Bernama) -- Sebanyak RM7.16 juta telah diperuntukkan bagi pembangunan pendidikan di Parlimen Tambun melibatkan pelbagai bentuk bantuan termasuk kewangan, kemudahan digital dan projek infrastruktur di sekolah sejak tiga tahun lepas.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun Mohamad Hairul Amir Sabri berkata peruntukan itu membabitkan sumbangan daripada Parlimen serta inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkasakan akses pendidikan dan kemudahan pembelajaran pelajar di kawasan terbabit. 

“Ada yang kita bagi secara tunai, ada yang kita bagi dalam bentuk pembangunan khususnya sekolah-sekolah dalam Parlimen Tambun ini majoritinya kita bagi mereka smart board (papan pintar) untuk kegunaan bantuan pembelajaran yang terkini dan boleh dikatakan kebanyakan sekolah kita telah santuni di kawasan ini.

Ad Banner

“Selain itu, isu tempat menunggu pelajar, bilik darjah, tempat permainan sukan yang kita bantu melalui peruntukan kecil tetapi bawah RM200,000,” katanya ketika ditemui pada Program Bantuan Pendidikan MADANI Parlimen Tambun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Kinta di sini hari ini.

Beliau berkata pada program itu kira-kira 500 pelajar menerima bantuan RM100 berserta beg sekolah melalui program sumbangan Yayasan Pelajaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) iaitu antara program pendidikan berterusan dalam membantu pelajar daripada keluarga memerlukan di kawasan tersebut.

“Fokus kita memang setiap tahun peruntukan yang besar kita bagi kepada pendidikan di Parlimen Tambun ini sebab kalau kita tahu memang Ahli Parlimen (Anwar), beliau sangat fokus tentang isu ini.

“Insya-Allah akan lebih banyak bantuan yang akan kita salur di sekolah-sekolah dan tadi pihak kami ada berbincang dengan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) kita akan melihat mana keperluan utama untuk dibantu,” katanya.

Mohamad Hairul Amir berkata sebanyak 3,000 pelajar di kawasan sama turut menerima baucar persekolahan bernilai RM100 setiap seorang sebagai persediaan awal sesi persekolahan tahun ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan