Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lebih 30 Peratus Koperasi Tidak Aktif, KUSKOP Perhebat Intervensi - Mohamad

18/04/2026 03:48 PM

KOTA KINABALU, 18 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) giat memperkukuh usaha memulihkan koperasi tidak aktif di seluruh negara melalui pendekatan intervensi segera dan cadangan konsolidasi.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata langkah itu penting bagi memastikan koperasi berkenaan terus berdaya saing dan tidak ditutup.

Katanya setakat 2025, lebih 30 peratus daripada keseluruhan 16,468 koperasi pada peringkat nasional dikenal pasti tidak aktif.

Ad Banner

“Kebimbangan saya pada hari ini ialah koperasi yang tidak aktif dan bagaimana cara untuk diaktifkan semula.

“Saya meminta terutamanya Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk turun ke bawah dan buat intervensi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Bicara Koperasi dan Jom Coop yang dianjurkan Institut Koperasi Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata antara pendekatan sedang dipertimbangkan ialah menggabungkan koperasi lemah supaya dapat beroperasi secara lebih kukuh melalui perkongsian sumber dan kapasiti bagi meningkatkan skala perniagaan merangkumi produk, modal syer serta keupayaan menanggung liabiliti secara bersama.

Ad Banner

Katanya antara punca utama koperasi tidak aktif ialah kelemahan pengurusan serta kebergantungan pada bantuan kerajaan semata-mata selain kepentingan melantik Ahli Lembaga Koperasi profesional bagi memastikan tadbir urus lebih cekap dan berdaya maju.

Mengenai prestasi sektor koperasi, Mohamad berkata terdapat 16,468 koperasi direkodkan pada peringkat nasional dengan keanggotaan mencecah 7.3 juta orang sehingga 31 Dis 2025.

Menurutnya, sektor itu turut mencatat perolehan RM81.62 bilion dengan jumlah aset keseluruhan bernilai RM186.75 bilion.

Di Sabah, Mohamad berkata setakat tempoh sama, terdapat 2,047 koperasi dengan 389,000 anggota, mencatat perolehan sebanyak RM913.33 juta dan aset melebihi RM1.2 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan