Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Tangani Isu Industri Pelancongan Semporna - Jafry

18/04/2026 04:56 PM

SEMPORNA, 18 April (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) memperkukuh tindakan tegas bagi menangani isu kritikal melibatkan industri pelancongan di Semporna secara menyeluruh menerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas.

Menteri berkenaan Datuk Jafry Ariffin berkata Semporna dijadikan model rujukan bagi penstrukturan semula industri pelancongan di Sabah membabitkan pematuhan perlesenan, keselamatan pelancong serta penambahbaikan infrastruktur.

“KePKAS tidak akan lagi berkompromi dengan mana-mana pengusaha yang gagal mematuhi undang-undang. Di Semporna, daripada 190 premis pelancongan yang dikenal pasti, hanya 46 premis memiliki lesen sah. Kementerian memberi tiga bulan tempoh pematuhan dari Jan 2026 sebelum Ops Bersepadu diadakan.

Ad Banner

"Sebagai langkah meningkatkan ketelusan dan keyakinan pelancong, KePKAS juga telah mengambil tindakan proaktif dengan memuat naik senarai 46 premis pelancongan yang berlesen di laman sesawang rasmi kementerian bagi rujukan umum," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jafry berkata bagi memastikan keselamatan pelancong di Semporna, hanya tiga jeti pelancongan rasmi dibenarkan beroperasi, iaitu Jeti Bangau-Bangau, Jeti Seafest dan Jeti Kapalai Resort, manakala pengoperasian jeti haram tanpa kawalan akan dikenakan tindakan termasuk perobohan.

“Penguatkuasaan ini penting bagi memastikan setiap pergerakan pelancong direkodkan dengan teratur serta memudahkan tindakan keselamatan dan operasi menyelamat sekiranya berlaku sebarang insiden,” katanya.

Jafry berkata pemain industri perlu memahami dan mematuhi sepenuhnya peraturan sedia ada yang menjadi syarat wajib bagi menjamin kualiti dan keselamatan industri pelancongan di daerah ini.

Katanya agensi teknikal termasuk Jabatan Tanah dan Ukur akan terus memudah cara dan menyelaras semua proses permohonan berkaitan bagi membantu pengusaha yang komited untuk mematuhi peraturan.

"Rondaan penguatkuasaan juga akan dipertingkat bagi memastikan semua pengendali bot mempunyai lesen sah, selain itu kawalan terhadap aktiviti pelancongan berisiko tinggi seperti selaman di Pulau Sipadan turut diperketat dengan syarat pengalaman minimum sebagai langkah keselamatan penyelam," katanya.

Jafry berkata kementeriannya akan turut mempergiat tindakan penguatkuasaan bagi membanteras penjualan hidupan liar dilindungi termasuk makanan eksotik seperti penyu serta tenggiling kepada pelancong.

Di samping itu, katanya cadangan jangka panjang termasuk pemindahan penempatan juga sedang diteliti bagi memastikan persekitaran pelancongan lebih bersih, selamat dan teratur.

“Segala tindakan ini bukan sahaja bertujuan membersihkan industri, tetapi untuk menghantar mesej jelas bahawa Sabah serius dalam menjaga keselamatan pelancong dan kelestarian industri pelancongan kita,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan