Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

CAAM Diarah Siasat Kerosakan BHS KLIA, Kenakan Hukuman Jika Perlu - Loke

19/04/2026 01:36 PM

PUTRAJAYA, 19 April (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah diarah membuat siasatan berhubung kerosakan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 semalam.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) memandang serius kerosakan BHS di KLIA Terminal 1 pada petang semalan, kerana gangguan tersebut menyebabkan kelewatan bagasi antara dua hingga empat jam bagi sejumlah besar penumpang yang tiba, dan kesulitan yang dialami amat dikesali.

“Walaupun saya mengambil maklum bahawa sistem BHS telah dipulihkan pada petang yang sama, pemulihan teknikal tidak bermakna perkara ini selesai. Penumpang yang melalui pintu masuk utama negara berhak mendapat tahap perkhidmatan yang boleh dipercayai dan insiden ini jelas gagal memenuhi kriteria ini.

Ad Banner

“CAAM telah diarahkan untuk memulakan siasatan terhadap perkara ini dan meneliti sama ada tindakan berupa hukuman wajar dikenakan terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) atas kegagalan dalam penyampaian perkhidmatannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loke berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha MOT Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan supaya mengadakan mesyuarat tergempar bersama agensi berkaitan pada pagi Isnin (esok).

“Mesyuarat tersebut akan melakukan semakan menyeluruh terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang mengawal pengurusan kerosakan di lapangan terbang kita, dengan tumpuan khusus kepada masa tindak balas, komunikasi dengan penumpang, dan protokol pelan kecemasan,” katanya.

Beliau berkata sebagai sebuah pintu masuk utama negara, ia tidak boleh berdepan dengan kelemahan berulang seperti itu dan MAHB, sebagai pengendali KLIA akan dipertanggungjawabkan atas kerosakan tersebut.

Loke berkata selain langkah pemulihan segera, insiden itu menunjukkan sesuatu yang perlu ditangani pada tahap yang lebih serius.

“Kita tidak boleh merealisasikan aspirasi kita untuk menjadi antara lapangan terbang terbaik dunia tanpa terlebih dahulu menyemai budaya kebertanggungjawaban yang sebenar dalam organisasi.

“Standard yang kita (sektor penerbangan) tetapkan untuk diri sendiri mesti dizahirkan melalui cara kita bertindak balas, cara kita mengakui kegagalan, dan cara kita memimpin sepanjang rantaian arahan.

“Jika kita serius dengan hasrat untuk menjadi lapangan terbang bertaraf dunia, kita juga mesti sama serius dalam memupuk budaya tanggungjawab yang setanding dengan aspirasi tersebut,” tegasnya.

Sementara itu, CAAM dalam kenyataan berasingan hari ini mengesahkan KLIA Terminal 1 telah kembali stabil susulan gangguan sementara terhadap BHS yang berlaku petang semalam.

“Sistem tersebut telah dipulihkan dan operasi lapangan terbang, termasuk daftar masuk serta pelepasan penerbangan, telah kembali seperti biasa,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, sebagai pengawal selia lapangan terbang tersebut, CAAM telah melaksanakan pemantauan ketat terhadap proses pemulihan dan terus berhubung dengan MAHB serta syarikat penerbangan bagi memastikan operasi stabil sepenuhnya dan semua standard keselamatan serta perkhidmatan yang berkaitan dipatuhi.

“MAHB diwajibkan mematuhi standard Kualiti Perkhidmatan (QoS) yang ditetapkan, termasuk pengendalian bagasi penumpang secara tepat pada masanya dan cekap. 

“Sehubungan dengan itu, CAAM menguatkuasakan pematuhan terhadap keperluan ini dan akan mengambil tindakan pengawalseliaan serta penguatkuasaan yang sewajarnya sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan,” menurut kenyataan itu.

CAAM memaklumkan MAHB juga dikehendaki melaksanakan langkah pembetulan dan pencegahan yang perlu bagi mengelakkan kejadian berulang.

“Pihak CAAM komited dalam mengekalkan standard tertinggi keselamatan, kualiti perkhidmatan dan kecekapan dalam sektor penerbangan Malaysia, serta akan terus memastikan akauntabiliti dalam kalangan semua entiti yang dikawal selia,” tegas kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan