Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Cabaran Langkah Sihat 90 Hari Perkukuh Budaya Hidup Aktif Penjawat Awam

19/04/2026 02:20 PM

KANGAR, 19 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil langkah strategik untuk memperkukuh pembudayaan hidup aktif dalam kalangan penjawat awam dengan melaksanakan Cabaran Langkah Sihat Antara Jabatan Kesihatan Negeri selama 90 hari yang akan bermula pada 27 April ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata cabaran langkah hingga 27 Julai itu terbuka kepada semua penjawat awam kesihatan di seluruh negara menerusi penggunaan platform digital di bawah Inisiatif Penjawat Awam Sihat Sejahtera (i-PASS).

“Cabaran Langkah Sihat Antara Jabatan Kesihatan Negeri ini merupakan satu daripada Inisiatif Penjawat Awam Sihat Sejahtera bagi memperkukuh semangat berpasukan dan pembudayaan hidup sihat dalam kalangan penjawat awam menggunakan platform digital,” katanya.

Ad Banner

Dzulkefly berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian Hari Aktiviti Fizikal Sedunia peringkat kebangsaan dan Karnival Kecergasan Zon Utara 2026 di sini hari ini. Teks ucapan beliau itu dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Ismuni Bohari. 

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian itu.

Dzulkefly berkata berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, sebanyak 29.9 peratus penduduk Malaysia didapati tidak aktif secara fizikal iaitu peningkatan daripada 25.1 peratus pada 2019.

Beliau berkata data juga menunjukkan 84 peratus dewasa tidak aktif dalam aktiviti sukan, kecergasan serta riadah, dan lebih membimbangkan satu daripada dua dewasa mengamalkan tingkah laku sedentari yang menghabiskan lebih dari dua jam sehari dengan aktiviti seperti duduk, baring dan bersandar.

“Ini merupakan realiti yang membimbangkan dan merupakan faktor risiko kepada penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi dan penyakit jantung dalam kalangan rakyat kita. Keadaan ini memerlukan pendekatan yang lebih strategik, menyeluruh dan bersepadu bagi menggalakkan perubahan tingkah laku ke arah pembudayaan hidup yang lebih aktif dan sihat,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah keselamatan ketika melakukan aktiviti fizikal susulan cuaca panas termasuk memastikan pengambilan air mencukupi, mengelakkan aktiviti luar antara 11 pagi hingga 4 petang serta mendapatkan rawatan segera sekiranya diperlukan jika mengalami gejala seperti pening, loya atau keletihan melampau 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan