SHAH ALAM, 19 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan Pelan Strategik RisSMart 2030 yang menyasarkan nilai jualan keseluruhan produk usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mencecah jumlah RM30 juta menjelang akhir 2030.
Beliau berkata pelan itu menggambarkan kerangka tindakan RISDA terhadap inisiatif game changer atau pencetus perubahan dengan meletakkan RisSMart sebagai pemangkin strategik dalam memperluas pasaran produk desa serta memperkasakan ekonomi luar bandar secara lebih inklusif, tersusun dan berimpak tinggi.
“RisSMart tidak dibangunkan sekadar sebagai saluran jualan biasa. Sebaliknya, RisSMart dibina sebagai sebuah ekosistem peruncitan dan hab pemasaran yang lebih holistik.
“Ertinya, yang dibangunkan bukan hanya outlet, tetapi keseluruhan rantaian nilai yang membantu usahawan desa bergerak daripada pengeluaran kecil kepada pengkomersialan yang lebih mampan,” katanya ketika berucap merasmikan Pasar Raya RisSMart Grocer di sini.
Turut hadir Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Pengerusi RISDA Manndzri Nasib.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata RISDA merancang untuk membuka lebih banyak cawangan RisSMart termasuk di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya menerusi kerjasama dengan PLUS Malaysia Berhad.
Beliau berkata RisSMart menawarkan barangan berkualiti dengan harga kompetitif yang lebih rendah daripada pasar raya lain.
“Ini merupakan satu langkah bijak yang dilakukan oleh RISDA. Yang kita fikirkan ketika ini ialah soal kos sara hidup, harga barangan dan harga keseluruhan produk yang kini terjejas disebabkan harga minyak susulan faktor geopolitik dan konflik yang kita harap tidak berpanjangan,” katanya.
Dalam pada itu, Manndzri berkata RisSMart dibangunkan sebagai satu sistem yang lengkap, merangkumi entiti RisSMart24, RisSMart Butchery, RisSMart Grocer, RisSMart Pit Stop, RisSMart Distribution Centre dan RisSMart Processing & Distribution Centre.
Beliau berkata keseluruhan ekosistem itu dibangunkan untuk menjadi hab pemasaran kepada produk-produk lokal desa, khususnya daripada komuniti pekebun kecil dan usahawan bimbingan RISDA.
Mengenai RisSMart Grocer, beliau berkata ia bukan sekadar memperluas operasi peruncitan, tetapi juga membentuk sebuah ekosistem bersepadu yang menghubungkan pekebun kecil serta usahawan bimbingan RISDA secara langsung ke pasaran pengguna.
“Inilah perbezaan RisSMart dengan jenama lain. Kita tidak hanya membuka kedai atau pasar raya, tetapi kita membina laluan kepada komuniti desa untuk berkembang dalam ekosistem ekonomi moden,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial