KOTA BHARU, 19 April (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mencatat peningkatan kutipan zakat tertinggi dalam sejarah bagi 2025, iaitu sebanyak RM354.6 juta atau 19 peratus berbanding RM296.8 juta dalam tempoh sama pada 2024.
Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata segmen terbesar kutipan zakat ini adalah daripada zakat pendapatan sebanyak RM229.2 juta.
Beliau berkata hal ini diikuti dengan zakat perniagaan berjumlah RM62.1 juta, zakat wang simpanan RM25.4 juta, zakat harta RM14.5 juta dan lain-lain zakat, iaitu zakat fitrah dan lain-lain hasil zakat, zakat emas/perak, zakat saham, zakat ternakan, zakat qadha, serta zakat pertanian, padi yang kumulatifnya berjumlah RM23.2 juta.
"Peningkatan terbesar direkodkan melalui zakat pendapatan dengan kenaikan sebanyak 24 peratus atau RM43.8 juta berbanding RM185.3 juta bagi 2024.
“Prestasi ekonomi Malaysia yang menunjukkan daya tahan ekonomi yang baik dengan pertumbuhan kira-kira 5.5 peratus pada 2025 turut memberikan kesan langsung kepada peningkatan kutipan zakat di negeri Kelantan,” katanya pada Majlis Sidang Media Laporan Khas Kutipan dan Agihan Zakat MAIK di sini, hari ini.
Beliau berkata apabila pendapatan rakyat meningkat, secara tidak langsung menambah bilangan pembayar zakat serta jumlah zakat yang dikutip dengan segmen pembayar baharu sebanyak 27,944 orang buat kali pertama di MAIK dengan 17,643 daripadanya adalah dalam kalangan belia yang berumur 20 hingga 39 tahun.
"Peningkatan kutipan zakat pada tahun lepas adalah yang tertinggi dalam sejarah MAIK, hasil daripada gabungan kekuatan ekonomi, pengurusan yang baik, tatakelola dan program promosi yang berkesan serta kesedaran agama dalam kalangan masyarakat," katanya.
Sementara itu, Tengku Mohamad Rizam berkata agihan zakat MAIK bagi 2025 berjumlah RM337.3 juta berbanding RM269.5 juta bagi tahun sebelumnya, meningkat sebanyak 25 peratus.
Mengulas lanjut, katanya, agihan zakat itu meliputi RM162.3 juta kepada asnaf fisabilillah, RM117.4 juta bagi asnaf fakir dan miskin, RM50.1 juta diagihkan kepada asnaf amil, al-gharimin, al-riqab dan ibnu sabil, manakala RM7.6 juta untuk asnaf mualaf.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial