Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan MADANI Selesai Pelbagai Isu Pembangunan, Kebajikan Rakyat - Fahmi

19/04/2026 08:08 PM

SEGAMAT, 19 April (Bernama) -- Kerajaan MADANI berjaya menyelesaikan pelbagai isu tertangguh termasuk projek pembangunan di beberapa negeri dan kebajikan penjawat awam yang sekian lama tidak dapat diselesaikan sebelum ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata antara pencapaian utama ialah kenaikan gaji penjawat awam buat kali pertama sejak 2013, selain pelarasan gaji hakim selepas tempoh yang panjang.

Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata kerajaan telah memulangkan semula peruntukan kepada institusi pendidikan agama seperti maahad tahfiz dan sekolah agama, di samping menyelesaikan beberapa isu melibatkan negeri-negeri tertentu.

Ad Banner

“Sebagai contoh, di Terengganu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menunaikan janji yang tertangguh selama 17 tahun untuk memulakan proses pecah tanah bagi pembinaan kolej metropolitan pertama di negeri itu.

“Begitu juga di Johor, projek Forest City yang sebelum ini terbengkalai kini kembali digerakkan,” katanya kepada pemberita selepas Program Jiwa MADANI: Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Komuniti MADANI Negeri Johor di Dewan Serbaguna Kampung Abdullah di sini hari ini.

Fahmi juga berkata inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura turut dimeterai di bawah Kerajaan MADANI.

“Sebelum ini, tidak ada kerajaan yang selesaikan masalah Forest City, Maharani Freeport… tidak ada kerajaan yang siapkan Sistem Transit Rapid Link Johor Bahru-Singapura.  

“Semua ini hanya berlaku waktu di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI,” katanya.

Beliau berkata pencapaian itu bukan bertujuan untuk bermegah sebaliknya membuktikan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mampu menyelesaikan isu rakyat secara menyeluruh serta memberi manfaat kepada pelbagai pihak.

“Ini menunjukkan bahawa apabila kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bekerjasama dengan erat, banyak isu rakyat dapat diselesaikan secara tuntas, menyeluruh serta membawa manfaat kepada semua,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan