Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Menteri Besar Perlis Beri Jaminan Sidang DUN Diadakan Sebelum 8 Jun

19/04/2026 09:31 PM

KANGAR, 19 April (Bernama) -- Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah memberi jaminan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal diadakan sebelum 8 Jun, dengan tarikh baharu sidang itu akan diumumkan pada minggu depan.

Abu Bakar berkata penangguhan sidang DUN itu tiada kaitan dengan isu undi tidak percaya ataupun ketidaktentuan sokongan terhadap pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinannya.

“Kami ada tempoh sehingga Jun ini. Dalam peraturan, persidangan terakhir dan persidangan berikutnya tidak melebihi enam bulan… saya akan buktikan persidangan DUN akan bermula sebelum 8 Jun nanti,” katanya di sini hari ini.

Ad Banner

Sidang DUN Perlis sepatutnya berlangsung dari 21 hingga 23 April ini, namun surat pemakluman mengenai penangguhan sidang yang dikeluarkan pada Jumaat lepas dan tular di media sosial menimbulkan pelbagai spekulasi.

Abu Bakar berkata penangguhan sidang DUN itu bertujuan untuk memastikan kerajaan negeri memperincikan persediaan pentadbiran agar persidangan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, memandangkan beliau baharu memegang jawatan Menteri Besar selepas mengangkat sumpah pada 28 Dis tahun lepas.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata tidak timbul isu kelemahan kepimpinan ataupun usaha mengelak tekanan politik menerusi penangguhan sidang DUN berkenaan, sebaliknya ia sebahagian daripada pendekatan pentadbiran beliau dalam memperkemas urusan pentadbiran kerajaan negeri.

“Bagi saya, dalam politik kami tak pernah kenal erti takut, ini tidak timbul masalah takut dan sebagainya, cuma kepimpinan ada caranya. Kepimpinan dulu cara lain dan kepimpinan saya sebagai Menteri Besar ada cara tersendiri,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan